BUKIT MERTAJAM, 14 SEPT: Isu beberapa ahli parlimen yang mendakwa menerima ugutan video lucah kini berada di bawah siasatan polis, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai agensi teknikal akan membantu siasatan yang dijalankan polis.
“(Perkara) ini di bawah siasatan PDRM dan SKMM akan membantu sebagai agensi teknikal. Jadi pihak yang mengetuai siasatan ialah PDRM. Buat masa ini saya tidak mempunyai maklumat tambahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Penanti di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan SKMM Abdul Karim Fakir Ali.
Fahmi berkata demikian sebagai mengulas laporan media bahawa bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menerima ugutan video lucah kononnya membabitkan dirinya dan seorang lelaki, yang dikirim melalui e-mel tidak dikenali Jumaat lalu.
Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pengirim turut memeras ugut beliau wang US$100,000 (RM420,000) sekiranya tidak mahu video berkenaan disebarkan selain Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut menerima e-mel ugutan sama.
Terbaharu, Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari turut mendakwa menerima ugutan sama serta menegaskan video disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan integriti beliau.
Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, Fahmi berkata kerajaan memandang serius insiden berkenaan dan telah mengarahkan SKMM bekerjasama rapat dengan PDRM bagi mengesan serta menjejak penjenayah yang menghantar e-mel ugutan itu melalui aplikasi Gmail (syarikat Google).

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.
Jelasnya, segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat.
“Kerajaan menegaskan bahawa menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,” katanya yang turut menerima e-mel sama.
Menurut Fahmi, hasil semakan mendapati e-mel berkenaan menggunakan ayat hampir sama, disertakan dengan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar daripada alamat e-mel yang sama.
Antara wakil rakyat yang menerima e-mel tersebut ialah Wong Chen (Ahli Parlimen Subang); Dr Mohammed Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani); Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan); Najwan Halimi (Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor); Senator Manolan Mohamad; Wong Chia Zen (ADUN Kulim); dan Dr Mohammad Fahmi Ngah (Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor).
- BERNAMA