ad

Remaja jana RM76,000 hasil jual video lucah kanak-kanak

24 Okt 2025, 7:38 AM
Remaja jana RM76,000 hasil jual video lucah kanak-kanak

SHAH ALAM, 24 OKT: Polis mendedahkan kegiatan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang menjana lebih RM76,000 hasil jualan video lucah kanak-kanak dalam talian dalam tempoh sembilan bulan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata remaja terbabit antara 31 individu berusia 12 hingga 71 tahun termasuk seorang warga asing yang ditahan dalam Op Pedo Bersepadu 2.0, hasil kerjasama PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) antara 22 hingga 30 September lalu.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan aplikasi Tumblr untuk memuat turun bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) sebelum mewujudkan kumpulan Telegram bagi menjualnya.

“Tangkapan berusia 17 tahun ini mencatat aliran kewangan sebanyak RM76,000, menunjukkan peralihan moral yang membimbangkan dalam kalangan generasi muda,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurutnya, operasi berkenaan turut menemui lebih 880,000 fail bahan lucah kanak-kanak dan dewasa daripada 82 peranti digital yang dirampas, peningkatan hampir 20 kali ganda berbanding operasi pertama tahun lalu yang hanya merekodkan sekitar 40,000 fail.

Mohd Khalid menjelaskan sebahagian suspek berperanan sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar melalui transaksi e-dompet dan kod QR perbankan.

“Hasil analisis awal mendapati sebahagian bahan itu membabitkan mangsa tempatan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan semua suspek yang ditahan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk guru, jurutera, pelajar, pereka grafik, tukang masak dan penganggur.

“Antara yang mengejutkan ialah pembabitan individu diberi amanah seperti guru agama, sekali gus membuktikan jenayah ini merentasi latar sosial dan pekerjaan,” katanya.

Polis menegaskan aktiviti penghasilan dan penyebaran bahan lucah kanak-kanak bukan hanya berpunca dari luar negara, sebaliknya turut berlaku dalam negara melalui pertukaran dan jual beli digital sesama pengguna.

“Kanak-kanak kini sangat terdedah dengan teknologi digital hingga tanpa sedar terlibat memuat turun, menyimpan atau berkongsi bahan terlarang. Polis bersama SKMM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi antarabangsa bagi menumpaskan rangkaian ini sepenuhnya,” katanya.