KLANG, 12 SEPT: Kerajaan Selangor menyalurkan RM100,000 kepada Cuepacs Selangor bagi memperkukuh kebajikan, latihan serta peningkatan kemahiran penjawat awam, sekali gus memastikan mereka terus terus menjadi tulang belakang pembangunan negeri dan negara.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, dana tersebut juga diharap dapat meningkatkan motivasi penjawat awam untuk berkhidmat dengan lebih cekap dan berintegriti.
“Penjawat awam perlu beradaptasi dengan cabaran semasa supaya terus mendapat kepercayaan rakyat. Apabila kita melaksanakan kerja dengan baik, tersusun, kemas dan kukuh, Insya-Allah kebajikan penjawat awam juga dapat dipertingkatkan, termasuk memastikan upah dan gaji yang lebih baik.
"Ini penting kerana kita mahu sampai ke tahap negara berpendapatan tinggi, dan penjawat awam juga menerima gaji setimpal dengan taraf tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Cuepacs Negeri Selangor di sini, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Cuepacs Selangor Abdul Rahman Mohd Nordin menyambut baik pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai suntikan semangat untuk warga perkhidmatan awam.
Katanya, dana itu akan dimanfaatkan melalui persidangan, forum dan latihan bagi mendidik penjawat awam agar lebih matang serta tidak mudah terpengaruh dengan media sosial.
"Latihan diberi supaya penjawat awam di Malaysia berfikir lebih waras daripada mudah menerima saja. Contohnya seperti di Nepal, jika penjawat awam tidak dididik dengan baik, ia boleh menjejaskan kebajikan rakyat.
"Dana itu boleh meningkatkan semangat ahli-ahli Cuepacs Selangor yang semuanya penjaga awam. Lebih banyak latihan dan aktiviti dapat dijalankan," ujarnya.