PersediSHAH ALAM, 12 SEPT: Persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 berjalan lancar dan hampir mencapai ke tahap 60 peratus termasuk persediaan fasiliti dan penambah baik venue.
EXCO pembangunan sukan menjangkakan persediaan lengkap sepenuhnya menjelang Mac atau April tahun depan dan pihaknya mempunyai ruang untuk penelitian sebelum acara berlangsung pada Ogos.
“Di peringkat sekretariat SUKMA, dari segi persiapan memang berjalan berterusan. Semua persiapan dan kemudahan sukan disasarkan siap menjelang Mac atau April.
“Kita mahu semua perkara berkaitan dalam keadaan sedia dan mempunyai masa untuk kita periksa dan cuba (menggunakan) peralatan sukan,” kata Najwan Halimi ketika sidang media mengumumkan kejohanan Sukan Selangor ke-15 hari ini.
Bagi memastikan SUKMA berjalan lancar, Najwan berkata pendaftaran sukarelawan akan dibuka awal tahun depan kepada orang awam, namun keutamaan diberikan kepada pelajar lepasan sekolah serta penuntut institut pengajian tinggi.
Katanya, Sukarelawan Selangor (Serve) bawah Majlis Sukan Selangor selain Team Selangor juga bersedia untuk digerakkan.
“Kita akan sediakan modul latihan kepada sukarelawan terlibat. Mereka akan dilengkapi kemahiran dan pengetahuan asas tentang protokol dan berurusan dengan tetamu kerana mereka bawa imej negeri.
“Saya sudah bincang dengan pihak sekretariat dan perkara itu sedang diurus dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Najwan berkata lagu khas sempena kejohanan sukan dwitahunan ini juga sedang diproses sebagai langkah menaikkan semangat sambutan dan mengekalkannya sebelum acara kemuncak.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan, manakala Para SUKMA bermula 5 hingga 14 September 2026.
Helang Putih dipilih sebagai maskot rasmi, manakala obor angka Romawi XXII menjadi logo edisi ke-22 ini.