SHAH ALAM, 11 SEPT: Unjuran peningkatan populasi bumiputera Malaysia dalam beberapa dekad mendatang, di sebalik penurunan kaum lain, dijangka tidak menjejaskan perpaduan negara atau masyarakat majmuk.
Bagaimanapun, seorang pakar sosial berpandangan kerajaan berperanan besar memastikan dasar-dasar negara dilaksana secara seimbang supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan minoriti.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata keistimewaan yang diberikan kepada bumiputera mesti seiring dengan usaha melindungi keperluan dan kebajikan kaum lain supaya tidak wujud jurang dalam perpaduan sosial.
“Semenjak Merdeka 1957 sampai sekarang dari segi peratusan, memang jumlah bumiputera sentiasa mendahului kumpulan etnik lain, China, India dan sebagainya. Dan sehingga hari ini, walaupun populasi bumiputera melebihi, namun keharmonian, kedamaian kekal.
“Kita sentiasa hidup harmoni dan boleh rumuskan rakyat hidup berteraskan kepada rukun negara dan perlembagaan. Masyarakat menghormati dua dasar ini, sebab itu tiada yang ambil kesempatan untuk timbulkan perkara yang menjejaskan kemakmuran dan pembangunan negara,” katanya.
Unjuran penduduk
Menurut laporan Unjuran Penduduk 2020–2060 terbitan Jabatan Perangkaan (DOSM) pada 11 Julai sempena Hari Penduduk Sedunia, populasi bumiputera dijangka meningkat daripada 69.4 peratus pada 2020 kepada 79.4 peratus pada 2060.
Sebaliknya, populasi Cina dijangka merosot daripada 23.2 peratus kepada 14.8 peratus manakala India menurun daripada 6.7 peratus kepada 4.7 peratus.
Trend sama dijangka berlaku di Selangor dengan populasi bumiputera naik daripada 60.6 peratus (2020) kepada 69.9 peratus (2060).
Sementara itu, populasi Cina berkurang daripada 27.3 peratus kepada 20.3 peratus, manakala India menyusut daripada 11.3 peratus kepada 8.6 peratus.
Perlu dasar seimbang
Dr Mohammad Shatar menegaskan dasar kerajaan berkaitan sosial, ekonomi dan politik mesti dilaksana secara seimbang serta adil merentas semua kaum.
Katanya, langkah itu bukan bermaksud mengetepikan hak istimewa bumiputera, sebaliknya memastikan kebajikan setiap lapisan masyarakat terpelihara.
“Setiap etnik juga tidak boleh mengambil kesempatan terhadap bangsa lain. Misalnya A jangan ambil kesempatan dari B, B jangan ambil kesempatan terhadap C. Banyak bukan bererti kuat, sikit buat bermakna lemah.
“Jadi keseimbangan perlu diberikan. Semenjak merdeka keharmonian kekal jadi jangan risau jika angka bumiputera terus meningkat. Ini bukan isu kerana kita dah buktikan. Kita amalkan dasar menghormati satu sama lain,” katanya.
Dr Muhammad Shatar mengingatkan pentadbiran supaya tegas memantau dunia media sosial supaya tiada hasutan dan anasir luar dapat mempengaruhi rakyat hingga boleh menjejaskan keutuhan kaum.
“Kalau zaman 1940 hingga 1990-an, kita boleh kawal kemasukan media yang kita rasa tidak sesuai dan melanggar etika sebab kebanyakan masih bersifat fizikal. Tapi hari ini sangat sukar. Kementerian, kerajaan perlu pantau dan kawal.
“Hari ini saya lihat pengaruh atau unsur dari luar yang mampu menggugat pelbagai persepsi, hasutan mungkin datang dari negara luar. Sesetengah musuh ambil kesempatan terhadap insiden di luar dan masukkan agenda ke dalam negara kita,” katanya.
Sementara itu beliau turut menasihatkan generasi muda supaya tidak menormalkan budaya ‘childfree’ atau mengehadkan bilangan anak berikutan ia akan memberi impak kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
“Kalau kita lihat, China yang satu ketika dahulu melaksanakan dasar hanya satu anak, sekarang sudah ubah dasar tersebut.
“Sama juga dengan Singapura sebab mereka dah nampak keperluan (rakyat ramai),” katanya.