ad

MEF tolak cadangan lanjut cuti paterniti, gesa skim fleksibel

10 Sep 2025, 3:10 AM
MEF tolak cadangan lanjut cuti paterniti, gesa skim fleksibel
MEF tolak cadangan lanjut cuti paterniti, gesa skim fleksibel

SHAH ALAM, 10 SEPT: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menolak cadangan untuk melanjutkan cuti paterniti melebihi tujuh hari, dengan memberi amaran bahawa langkah itu akan menambah kos serta memberi tekanan operasi perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presidennya Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata walaupun MEF mengakui kepentingan penglibatan bapa dalam penjagaan anak, sebarang lanjutan cuti bergaji yang termaktub dalam undang-undang perlu mengimbangi kesejahteraan keluarga dengan kelangsungan perniagaan.

“Cuti paterniti tujuh hari yang ada ketika ini sudah pun merupakan langkah progresif dalam mengiktiraf peranan bapa terhadap penjagaan anak.

“Matlamat memastikan tanggungjawab yang sama antara lelaki dan wanita dalam membesarkan anak boleh dicapai melalui pengaturan yang lebih fleksibel, bukan dengan mewajibkan tambahan cuti paterniti bergaji kepada majikan,” katanya kepada Media Selangor.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman

Pada 21 Ogos lalu, EXCO Pemberdayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata pentadbiran sedang meneliti cadangan untuk melanjutkan tempoh cuti paterniti melebihi tujuh hari sedia ada.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan menggalakkan bapa memainkan peranan lebih besar dalam menjaga bayi baharu lahir serta memupuk perkongsian tanggungjawab dalam kalangan ibu bapa. Cadangan itu digariskan dalam Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026.

Persatuan Hak Bapa Malaysia menyambut baik cadangan tersebut dengan menyatakan bahawa tempoh tujuh hari hanya cukup untuk menyelesaikan urusan pentadbiran, manakala ibu masih menanggung sebahagian besar tanggungjawab menjaga bayi pada minggu awal kelahiran yang kritikal.

Sebagai respons, MEF mencadangkan agar tanggungjawab bersama ibu bapa dicapai melalui skim yang lebih fleksibel, seperti membenarkan pemindahan sebahagian cuti bersalin kepada bapa atau memberi pilihan kepada keluarga untuk membahagikan cuti antara pasangan tanpa menambah beban kewangan kepada majikan.

Fleksibiliti lebih baik berbanding cuti panjang

Syed Hussain menegaskan, cuti paterniti yang lebih panjang akan memberi kesan besar kepada syarikat kecil yang mempunyai tenaga kerja terhad kerana ketiadaan pekerja untuk tempoh yang lama boleh menjejaskan aliran kerja, penyampaian perkhidmatan dan produktiviti.

Majikan juga akan menanggung kos buruh yang lebih tinggi melalui bayaran kerja lebih masa atau keperluan mengambil pekerja gantian sementara.

“Majikan sudah pun diwajibkan mematuhi pelbagai bentuk cuti bergaji. Penambahan cuti akan menjejaskan produktiviti dan daya saing, khususnya dalam industri berintensifkan buruh, pada masa perniagaan masih berusaha pulih daripada ketidaktentuan ekonomi,” katanya.

Menurutnya, MEF lebih mengutamakan pendekatan seperti fleksibiliti di tempat kerja, sokongan penjagaan kanak-kanak dan program kesedaran untuk memupuk tanggungjawab bersama ibu bapa tanpa menambah beban kewangan kepada majikan.

“MEF menekankan bahawa walaupun matlamat mengukuhkan ikatan kekeluargaan adalah baik, melanjutkan cuti paterniti bergaji melebihi tujuh hari sedia ada bukanlah penyelesaian yang paling praktikal dan seimbang.

“Sebaliknya, mekanisme seperti perkongsian cuti bersalin dan pengaturan fleksibel cuti ibu bapa perlu digalakkan bagi mencapai penjagaan anak yang lebih adil dari segi gender, sambil memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya.

Realiti ekonomi Malaysia

Mengulas perbandingan dengan negara Nordik, beliau berkata Malaysia tidak boleh meniru model tersebut kerana negara berkenaan adalah ekonomi berpendapatan tinggi dengan sistem kebajikan mantap, di mana kos cuti ibu bapa sebahagian besarnya ditanggung kerajaan melalui cukai dan jaminan sosial.

“MEF mengakui bahawa negara seperti Sweden, Norway dan Finland telah melaksanakan skim cuti ibu bapa yang meluas sambil mengekalkan tahap produktiviti tinggi. Namun, amalan tersebut tidak boleh diaplikasikan terus di Malaysia kerana perbezaan ketara dari segi struktur, ekonomi dan budaya.

“Negara Nordik adalah ekonomi berpendapatan tinggi dengan sistem kebajikan maju, produktiviti pekerja tinggi, serta jaminan sosial berasaskan cukai yang kukuh. Kerajaan mereka mampu menanggung dan membiayai cuti ibu bapa melalui dana awam yang kukuh,” katanya.

Sebaliknya, Malaysia merupakan ekonomi berintensifkan buruh yang dipacu sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, menjadikan peningkatan produktiviti lebih sukar dicapai.

Majikan di Malaysia, khususnya PMKS, terpaksa menanggung sepenuhnya kos cuti bergaji tanpa pembiayaan bersama kerajaan seperti di negara Nordik.

“Melanjutkan cuti paterniti dalam sistem sedia ada akan terus meningkatkan kos majikan tanpa sokongan kerajaan, sekali gus tidak mampan untuk kebanyakan perniagaan,” katanya.

Beliau menambah, pergantungan Malaysia terhadap PMKS — yang merangkumi hampir 90 peratus ekonomi negara — bermakna kekurangan pekerja walaupun sementara boleh menjejaskan operasi secara serta-merta.

“Malaysia bersaing di peringkat serantau dengan negara seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand yang peruntukan cuti paternitinya terhad. Melaksanakan skim seumpama negara Nordik boleh menjejaskan daya saing Malaysia dalam menarik pelaburan asing sekiranya kos perniagaan meningkat melebihi pesaing serantau,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.