PARIT, 22 SEPT: Seorang wanita warga Indonesia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menyebabkan kematian anak bongsunya yang berusia dua bulan akibat kecuaian, Khamis lepas.
Majistret Nurul Izalina Rajaai menjatuhkan hukuman itu ke atas Dewinta Tefa, 36, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Arkan Andre Soveeal Asit di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua Kota Setia dekat sini pada 5.30 pagi 18 Sept lepas mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri memohon hukuman setimpal mengambil kira kepentingan faktor awam namun peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof memohon hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama anak guamnya.
Peguam itu berkata Dewinta yang mempunyai enam anak (empat daripada mereka berada di Indonesia) tidak bekerja manakala suaminya bekerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa seorang bayi berusia dua bulan meninggal dunia akibat lemas selepas ditindih ibunya sendiri ketika sedang tidur.
-- BERNAMA