ad

Dua beradik lemas di Sungai Linggi disahkan Islam, JHEAINS urus pengebumian

9 Sep 2025, 9:15 AM
Dua beradik lemas di Sungai Linggi disahkan Islam, JHEAINS urus pengebumian

SEREMBAN, 9 SEPT: Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan memutuskan dua beradik terlibat dalam tragedi lemas di Sungai Linggi, Port Dickson pada 4 September lalu, beragama Islam dan akan dikebumikan petang ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan menguruskan jenazah kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan lelaki enam tahun tersebut.

Beliau berkata satu sesi pendengaran mengenai status agama bagi mangsa telah dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini bagi menentukan agama kanak-kanak tersebut.

"Hakim Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan dua mangsa tersebut beragama Islam dan diperintahkan dikebumikan mengikut cara Islam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Alzafny dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai Tanjung Agas, dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalamnya, pada 11.45 pagi, 4 September lalu.

Beliau berkata siasatan mendapati kanak-kanak tersebut yang beralamat di Shah Alam, Selangor, dipercayai lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan.

Alzafny turut melaporkan seorang lelaki berusia 46 tahun dipercayai bapa kanak-kanak itu dan teman wanitanya 41 direman tujuh hari bermula 5 September, bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Media turut melaporkan tiada ahli keluarga atau waris hadir di Unit Forensik Hospital Port Dickson ketika proses bedah siasat mangsa pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah dalam satu kenyataan berkata pengurusan jenazah dua beradik itu dilaksanakan di Hospital Port Dickson kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, Port Dickson hari ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.