SHAH ALAM, 9 SEPT: Sumbangan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI disifatkan sebagai pemangkin semangat baharu buat atlet dan pasukan negeri untuk melakar kejayaan lebih besar di pentas sukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata sokongan berterusan daripada MBI dan Majlis Sukan Negeri sejak awal penubuhan kelab amat bermakna dalam memperkukuh pembangunan sukan di negeri ini.

“Kami amat bersyukur dengan sumbangan ini. Ia menjadi motivasi kepada pemain untuk terus memberi komitmen membawa nama Selangor di peringkat lebih tinggi.
“Pada masa sama, ia membantu pasukan menyusun perancangan kewangan lebih rapi supaya tumpuan penuh dapat diberikan terhadap prestasi di padang dan arena e-sukan,” katanya.
Terdahulu, EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi menyampaikan sumbangan RM413,000 daripada Yayasan MBI kepada lapan persatuan sukan dan beberapa atlet Selangor di Ibu Pejabat MBI di sini hari ini.
Antara penerima termasuk persatuan Selangor FC Futsal (RM200,000) dan Selangor Red Giant OG E-Sports (RM100,000) selain beberapa atlet muda yang turut menerima insentif khas.
Seorang daripadanya, atlet permotoran berusia 10 tahun, Muhammad Safiuddin Mohammad Shaharizan, meluahkan rasa terharu kerana bantuan itu meringankan persiapannya ke kejohanan akan datang.

“Terima kasih Yayasan MBI bagi sumbangan. Ia sedikit sebanyak membantu saya membuat persiapan perlawanan seterusnya.
“Impian saya mahu pergi lebih jauh dalam sukan permotoran ini sehingga ke Valencia, Sepanyol,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu penuh semangat.