SHAH ALAM, 23 APRIL: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM20,000 bagi memberi bantuan awal kepada kira-kira 100 keluarga sekitar Paya Jaras, Sungai Buloh yang terkesan banjir pagi tadi.
Ketua Yayasan MBI berkata bantuan barangan keperluan asas seperti bekalan makanan, tilam, bantal dan selimut diagih kepada manga yang kini ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
“Dianggarkan setiap PPS didiami kira-kira 25 mangsa. Pagi tadi kebanyakan rumah mangsa dinaiki air dengan ketinggian kira-kira satu meter.
“Ketika ini ada lagi air yang belum surut dan mangsa mungkin perlu tinggal di PPS sementara waktu. Kita akan memberi bantuan susulan selepas ini,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_698121" align="aligncenter" width="811"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Datuk Saipolyazan M Yusop membantu mengangkat kotak bantuan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Paya Jaras, Sungai Buloh yang penghuni pusat pemindahan sementara di Dewan MBSA Seri Pagi Kampung Paya Jaras U19, Shah Alam pada 23 April 2025. Foto Yayasan MBI[/caption]
Beliau berkata pihaknya turut mengagihkan 150 bungkus makanan tengah hari kepada penduduk Taman Seri Alam, Saujana Utama yang terkesan banjir kilat susulan kolam tadahan Air Hillpark pecah sekitar jam 5:30 pagi.
“Kejadian pecah kali ketiga ini menyebabkan berpuluh rumah terjejas banjir. Bagi ringankan beban penduduk yang membersihkan rumah, kita sediakan makanan tengah hari.
“Harap bantuan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya.
[caption id="attachment_638644" align="aligncenter" width="783"] Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Saifuddin Shafi Muhammad. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad[/caption]
Dalam pada itu, Setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar berkata pemaju perumahan berkenaan telah diarah untuk membaiki ban tersebut dengan segera agar kejadian sama tidak berulang
Shaifuddin Shafi Muhammad menerusi hantaran di laman X berkata tindakan tegas bakal diambil sekiranya mereka mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk yang telah berulang kali terjejas.
"Yayasan MBI sedang menyalurkan bantuan kecemasan. Pegawai daerah dan yang dipertua juga telah diminta turun bertemu penduduk," tulisnya.
[caption id="attachment_698120" align="aligncenter" width="809"] Keadaan di pusat pemindahan sementara di Dewan MBSA Seri Pagi Kampung Paya Jaras U19, Shah Alam pada 23 April 2025. Foto Yayasan MBI[/caption]
Pagi tadi penolong bahagian operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi ini.
Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata antara daerah terlibat ialah Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Subang Jaya.