ad

Peniaga wanita rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan tidak wujud

8 Sep 2025, 1:23 AM
Peniaga wanita rugi lebih setengah juta terpedaya pelaburan tidak wujud

BATU PAHAT, 8 SEPT: Seorang peniaga wanita kerugian RM571,242 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui iklan di Facebook.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata mangsa berusia 55 tahun itu mula berurusan dengan suspek yang tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp selepas tertarik dengan tawaran pulangan keuntungan tinggi yang diiklankan pada 16 Mac 2024.

“Antara 10 hingga 31 Julai lepas, mangsa membuat beberapa transaksi ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM571,242. Mangsa kemudian melihat paparan keuntungan sebanyak RM804,000 dalam aplikasi pelaburan tersebut.

“Bagaimanapun, apabila cuba mengeluarkan wang tersebut akaun berkenaan didapati disekat. Mangsa akhirnya menyedari ditipu selepas tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Shahrulanuar Mushaddat menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai jenayah komersial melalui portal rasmi Cyber Crime Alert.

Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan juga disaran segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas menyekat pengaliran keluar wang dilakukan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.