ad

Legenda Cup Prix kongsi teknik tunggangan konvoi selamat

6 Sep 2025, 3:01 AM
Legenda Cup Prix kongsi teknik tunggangan konvoi selamat
Legenda Cup Prix kongsi teknik tunggangan konvoi selamat

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kebanyakan kemalangan motosikal dilaporkan berpunca akibat terbabas, khususnya ketika penunggang menyertai konvoi beramai-ramai.

Fenomena ini membimbangkan kerana sering kali mengakibatkan kecederaan parah, malah ada yang meragut nyawa.

Menyedari hal tersebut, bekas pelumba negara era 90-an, Wazi Abdul Hamid, 54, tampil memberi penekanan ilmu berkonvoi serta teknik tunggangan selamat di jalan raya.

Legenda yang bersara pada 2007 ketika berusia 36 tahun, mengakui pengalaman luas dalam perlumbaan membuka mata terhadap risiko sebenar di jalan raya.

Beliau pernah menjulang kejuaraan Malaysian Cup Prix dan mewakili pasukan Suzuki serta Marlboro Roberts kategori 110cc, 125cc dan 250cc di peringkat Asia.

Kini beliau menumpukan sepenuh perhatian mendidik penunggang motosikal agar lebih berhemah kerana ramai penunggang masih gagal memahami asas penting ketika berkonvoi.

"Faktor seperti perjalanan jauh, keletihan serta kelemahan menguasai selekoh menjadi punca utama mereka terbabas.

“Lebih beberapa jam menunggang tanpa rehat, penunggang tidak mampu bertahan. Apabila tiba di kawasan selekoh, ramai tidak tahu teknik yang betul. Itu yang sering menyebabkan kemalangan,” jelasnya.

Wazi Abdul Hamid ketika beraksi suatu masa lalu. Foto Facebook Wazi Abdul Hamid

Anjur kempen, tubuh akademi

Sejak 2015, Wazi aktif bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi melaksanakan program keselamatan jalan raya di seluruh negara.

Melalui NGO yang diasaskannya, MotoWazi, beliau giat menganjurkan latihan praktikal, demonstrasi serta kempen penjagaan motosikal untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penunggang dan masyarakat.

Antara inisiatif utama ialah penubuhan Moto Advanced Safety Riding Academy (MASRA), sebuah akademi yang memberi latihan tersusun mengenai teknik tunggangan selamat.

Di sini, penunggang didedahkan dengan kemahiran menunggang secara konvoi, pengurusan perjalanan jarak jauh, teknik mengambil selekoh dengan betul serta kaedah penjagaan motosikal dalam keadaan terbaik.

Wazi yakin dengan pendidikan berterusan dan penghayatan disiplin tunggangan berhemah, kadar kemalangan motosikal khususnya ketika berkonvoi dapat dikurangkan.

“Apa yang penting ialah input dan ilmu. Apabila penunggang faham cara tunggangan yang betul, risiko terbabas dapat diminimumkan sekali gus nyawa penunggang dapat diselamatkan,” tegasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.