SHAH ALAM, 3 JUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibu bapa terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Cheras menghala ke Jalan Loke Yew, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.18 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati motosikal SYM Husky 150 SE yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mencelah dalam keadaan trafik sesak, lapor Berita Harian.
“Motosikal itu dipercayai mencelah antara lorong kiri dan kanan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah Honda CR-V di lorong kanan.
“Akibat pelanggaran itu, sebuah lagi motosikal Yamaha Y15ZR yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal berkenaan sebelum kedua-duanya terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, penunggang motosikal berusia 35 tahun mengalami kecederaan di pinggang dan kedua-dua kaki, manakala isterinya yang juga berusia 35 tahun cedera di tangan kanan.
Kedua-dua mereka sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Sementara itu, pemandu Honda CR-V berusia 59 tahun tidak mengalami kecederaan, manakala penunggang Yamaha Y15ZR berusia 47 tahun hanya mengalami luka di lutut kiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.








