SHAH ALAM, 1 OKT: Usahawan dan selebriti, Datuk Rosyam Nor menasihatkan belia agar tidak menjadikan kesusahan ekonomi sebagai penghalang untuk terus berjaya.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin berkata kesukaran hidup yang menimpa itu sebenarnya mendorong seseorang itu berjaya sekali gus menggapai impian.
“Dalam hidup mesti ada impian dan setiap yang menimpa membantu kita terus berjaya selain perlu sentiasa meningkatkan kemahiran mengikut peredaran masa.
“Selain itu, perlu menggunakan akal yang diberi supaya lebih kreatif dan menjadi luar biasa daripada orang lain untuk lebih menyerlah,” katanya pada Konvensyen Belia Selangor, semalam.
Konvensyen Belia Selangor yang julung kali diadakan itu menumpukan pelbagai pengisian termasuk aspek keusahawanan, kepimpinan dan sukan.
Dirasmikan EXCO Belia Mohd Najwan Halimi, acara yang menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri pemimpin belia peringkat universiti, kolej dan menengah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY), Aiman Syafiq Nazri berkata agensi tersebut sentiasa menyediakan program kepada usahawan termasuk orang kelainan upaya dalam mendepani cabaran dunia perniagaan.
“Kita tidak bekerja silo sebaliknya bekerjasama dengan beberapa agensi supaya program disediakan tidak sama serta dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan.
“Pada masa sama, SAY juga sering mengingatkan supaya walaupun dalam mementingkan keuntungan perlu memberi sesuatu kepada komuniti iaitu peluang pekerjaan yang boleh meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.


