SHAH ALAM, 3 SEPT: Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah mengadakan solat hajat hari ini bagi mendoakan keselamatan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dipermudah urusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu juga bertujuan mendoakan misi kemanusiaan GSF sentiasa dipelihara oleh Allah dan diberikan kesejahteraan.
"Saya menyeru rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan misi Global Sumud Flotlla, misi kemanusiaan yang memberikan sokongan kepada Palestin diberikan kemudahan dan keselamatan.
"Seperti sedia maklum, beberapa organisasi dalam negara menyertai misi kemanusiaan ini bermula 31 Ogos lepas," katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Mohd Na’im berkata misi kemanusiaan itu yang didukung komuniti antarabangsa adalah perjuangan mulia demi kemerdekaan Palestin.
“Sesungguhnya, apa jua inisiatif dan ikhtiar bermatlamat meringankan kesengsaraan umat Palestin pada masa kini mesti diberi dukungan oleh semua pihak, khususnya umat Islam,” katanya.
Sebanyak 24 kapal flotila dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol berlepas ke Gaza Ahad lalu membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas, disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia.
Fasa seterusnya menyaksikan 15 delegasi Malaysia kumpulan kedua berlepas dari pelabuhan Itali bersama delegasi antarabangsa pada 4 September ini, serentak dengan kumpulan ketiga Malaysia yang kini berada di Tunisia.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.