ad

Jakim arah masjid utama laksana solat hajat untuk keselamatan pasukan Flotilla Sumud

25 Sep 2025, 7:43 AM
Jakim arah masjid utama laksana solat hajat untuk keselamatan pasukan Flotilla Sumud

SHAH ALAM, 25 SEPT: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengarahkan tiga masjid utama di bawah seliaannya melaksanakan solat hajat esok bagi memohon keselamatan dan perlindungan kepada sukarelawan pasukan Flotila Sumud Global (GSF).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata solat hajat berkenaan dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 26 September bersamaan 4 Rabiulakhir 1447 Hijrah di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Beliau berkata arahan itu selaras kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menyeru seluruh umat Islam berdoa agar misi kemanusiaan flotilla tersebut dipermudahkan.

“Umat Islam di negara ini diseru bersama-sama berdoa agar para sukarelawan dilindungi, diberi kekuatan serta kesihatan yang baik. Semoga usaha murni ini mendapat rahmat dan pertolongan Allah SWT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

GSF yang sedang belayar merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dijadual tiba di perairan Gaza akhir bulan ini.

Misi bersejarah itu melibatkan lebih 1,000 sukarelawan dari seluruh dunia, termasuk 34 rakyat Malaysia, yang menyertai hampir 70 kapal dengan matlamat memecahkan sekatan ke atas Gaza.

Terdahulu, media melaporkan konvoi GSF berdepan detik tegang selepas menjadi sasaran intimidasi dron rejim Israel, sebahagiannya dilaporkan meletup di udara ketika insiden berlaku.

Ketua Pengarah merangkap jurucakap Pusat Kawalan Flotilla Sumud Nusantara Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata flotila itu berdepan siri taktik ugutan dengan 15 dron terbang rendah pada selang masa setiap 10 minit.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.