ad

Orang ramai mula tebus bantuan SARA RM100 di lebih 7,000 premis

31 Ogos 2025, 9:31 AM
Orang ramai mula tebus bantuan SARA RM100 di lebih 7,000 premis
Orang ramai mula tebus bantuan SARA RM100 di lebih 7,000 premis
Orang ramai mula tebus bantuan SARA RM100 di lebih 7,000 premis

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Orang ramai hari ini mengambil peluang hujung minggu untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya dan premis lain di seluruh negara menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 sekali beri yang dikreditkan ke MyKad bermula hari ini.

Pekerja kilang Norisa Ramli, 36, berkata beliau gembira menerima bantuan SARA hari ini kerana dapat menggunakannya untuk membeli barangan keperluan harian memandangkan gaji bulanannya masih belum diterima.

“Pemberian bantuan kali ini memang tepat pada masanya sebab gaji bulan ini belum masuk. Untuk hari ini, tebus bantuan yang suami punya dahulu untuk beli barang seperti susu, tepung, sos cili dan nanti bulan berikutnya baru akan gunakan saya punya,” katanya ditemui di Pasar Raya ST Rosyam Mart di sini hari ini.

Sementara itu, Hasan Abdul Ghani, 76, berkata sebahagian bantuan itu akan digunakan untuk membantu golongan lebih memerlukan sebagai cara berkongsi rezeki.

“Saya hanya tinggal berdua dengan isteri, jadi saya akan gunakan bantuan yang diberikan untuk membeli keperluan kami sekeluarga dahulu dan selebihnya disumbangkan kepada orang yang lebih memerlukan,” katanya semasa ditemui di Mydin Subang Jaya, dekat sini.

Selain itu, Pengurus Besar Operasi Mydin Subang Jaya S Vishnu Varthana berkata Mydin cawangan itu menyediakan 20 kaunter dilengkapi mesin pengimbas MyKad yang disediakan Yayasan MyKasih bagi melancarkan proses pembayaran.

Di Perak, warga emas Yong Chee Seng, 68, dari Kampung Baru MTD, Batu Gajah berkata bantuan itu memberi sedikit kelegaan kepadanya dalam menguruskan perbelanjaan bulanan, termasuk bayaran sewa dan bil utiliti.

"Dengan RM100 itu, saya boleh beli beras 10 kilogram, gula, minyak masak, sardin, susu tin dan macam-macam lagi barangan yang kami perlukan.

“Walaupun jumlahnya tidak besar, ia cukup membantu. Setidak-tidaknya ada peruntukan khas untuk beli barang asas tanpa usik duit bulanan,” katanya.

Di Kelantan, peniaga kecil dari Pasir Puteh Mohd Azlan Salleh, 42, berkata bantuan itu membolehkannya berjimat dan merancang perbelanjaan bagi keperluan lain.

“Bila barang asas sudah ditampung melalui bantuan SARA, duit tunai saya boleh digunakan untuk keperluan lain termasuk persekolahan anak. Lebih menggembirakan, kedai runcit kampung juga terlibat, jadi orang luar bandar tidak terpinggir,” katanya.

Di Perlis, seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) Nur Ayuni Shahalim, 25, berkata bantuan SARA yang diterimanya membolehkan beliau membeli barangan makanan sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan bulanannya.

“Sebagai pelajar, bantuan ini memang sangat membantu saya menguruskan kewangan bulanan, lebih-lebih lagi dengan keadaan kos sara hidup ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, penjawat awam Nurul Aida Othman, 37, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau terhadap keperluan harian rakyat menerusi pemberian sumbangan itu.

Pemandu lori di Sarawak, James Gadul, 49, berkata beliau merancang menggunakan bantuan berkenaan Disember nanti bagi menampung perbelanjaan sempena sambutan Krismas.

“RM100 ini walaupun nampak kecil, tapi saya simpan dulu untuk Krismas, sekurang-kurangnya boleh kurangkan belanja masa perayaan,” katanya.

SARA RM100 adalah bantuan tunai sekali bayar yang diberikan kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tanpa perlu membuat permohonan dan boleh digunakan di lebih 7,000 premis perniagaan berdaftar seluruh negara sehingga 31 Disember ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.