SHAH ALAM, 31 OGOS: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara sekali bayar mula disalurkan hari ini kepada warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Perdana Menteri berkata bantuan tunai yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM2 bilion itu, disalurkan terus melalui MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas berdasarkan 14 kategori produk terpilih.
“Ini adalah ikhtiar segera untuk meringankan beban sara hidup dan sebagai penghargaan kepada rakyat,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor Astro Awani.
Anwar pada Julai lalu mengumumkan beberapa inisiatif termasuk pemberian tunai sekali bayar sebanyak RM100, cuti umum seluruh negara pada 15 September ini serta penurunan harga petrol RON95.
SARA adalah bantuan tunai yang dikreditkan ke dalam MyKad kepada penerima layak bagi pembelian 14 kategori barangan asas di lebih 7,300 kedai dan pasar raya terpilih seluruh negara dan bilangan ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa.
Bagi bantuan kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun secara sekali bayar boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.