Jepun terus sokong Syria, salur US$5.5 juta pulih prasarana asas

31 Ogos 2025, 5:51 AM
Jepun terus sokong Syria, salur US$5.5 juta pulih prasarana asas
Jepun terus sokong Syria, salur US$5.5 juta pulih prasarana asas
Jepun terus sokong Syria, salur US$5.5 juta pulih prasarana asas
Jepun terus sokong Syria, salur US$5.5 juta pulih prasarana asas

TOKYO, 31 OGOS: Jepun memutuskan untuk menyalurkan bantuan sebanyak US$5.5 juta kepada sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melaksanakan projek peningkatan kualiti hidup di Syria, ketika semakin ramai penduduk yang pernah melarikan diri akibat perang saudara kembali pulang selepas kejatuhan kerajaan bekas Presiden Bashar al-Assad tahun lalu, lapor Agensi Berita Kyodo.

Skim bantuan geran itu ditandatangani Jepun dan Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) pada 12 Ogos, dengan tumpuan kepada bandar Aleppo dan Homs iaitu dua wilayah yang paling terjejas bagi membangunkan semula infrastruktur asas di kawasan setinggan dan penempatan, menurut Kementerian Luar Jepun.

Memandangkan situasi kemanusiaan di Syria yang masih serius serta jumlah pelarian yang semakin ramai kembali ke rumah masing-masing, usaha menyediakan persekitaran yang selamat telah menjadi “isu mendesak,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Ketenteraman awam dan keselamatan di Syria masih rapuh di bawah kerajaan sementara yang dibentuk selepas pemberontak menawan ibu kota Damsyik dan Assad melarikan diri pada Disember, sekali gus menamatkan pemerintahan keluarganya selama lebih setengah abad.

UN-Habitat dalam kenyataan berasingan memaklumkan konflik berpanjangan, ditambah gempa bumi besar yang melanda Syria dan Turkiye pada Februari 2023 menyebabkan penempatan di Aleppo dan Homs terputus daripada perkhidmatan asas seperti bekalan air, elektrik, sanitasi dan perumahan selamat.

Setakat akhir Julai, lebih 746,000 rakyat Syria telah pulang dari negara jiran, manakala lebih 1.5 juta pelarian dalaman turut kembali ke wilayah asal mereka.

Projek itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 81,000 individu, menurut badan berpusat di Nairobi itu.

Sebagai penyumbang utama kepada usaha pemulihan kemanusiaan di Syria, Jepun telah menyalurkan lebih US$21 juta bagi menyokong projek UN-Habitat untuk membantu komuniti rentan Syria sejak 2022, menurut agensi berkenaan.

- BERNAMA-KYODO