SHAH ALAM, 30 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan titah agar rakyat menilai kembali erti sebenar kemerdekaan yang diperjuangkan pejuang terdahulu.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kemerdekaan bukan hanya simbolik untuk diraikan, sebaliknya merupakan amanah besar yang wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab, jati diri dan perpaduan utuh.
“Kemerdekaan bukan sekadar simbolik untuk diraikan, tetapi ia adalah amanah besar yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab, semangat jati diri dan perpaduan utuh sesama rakyat,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan hendaklah digunakan secara berhemah serta dalam batas undang-undang.
“Segala pandangan dan kritikan hendaklah dibuat secara berhemah demi kebaikan bersama, bukan dijadikan wadah menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh memecahbelahkan masyarakat serta menjatuhkan maruah orang lain,” tegas Baginda dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 di Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.
Baginda menekankan perpaduan dan keharmonian antara kaum, agama serta budaya perlu sentiasa dipelihara, sekali gus menyeru rakyat agar menghormati pemerintah yang dipilih secara demokrasi demi kestabilan negara.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mengajak rakyat memupuk semangat persaudaraan dan muafakat tanpa mengira perbezaan, di samping menghargai nikmat keamanan serta menghayati nilai kesetiaan, hormat-menghormati dan tanggungjawab bersama.
Baginda turut berpesan supaya kemerdekaan dijadikan wadah memperkukuh pembangunan diri, keluarga dan negara, dengan kembali mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Sultan Sharafuddin dalam masa sama memanjatkan doa agar Selangor dan Malaysia kekal aman, makmur serta sentiasa dirahmati Allah S.W.T.
Sambutan Ambang Merdeka 2025 akan disiarkan secara langsung malam ini menerusi audiovisual khas di laman rasmi Mediaselangor.com.





