ad
AGENDA

Sultan Selangor seru rakyat patuh fatwa demi keharmonian dan maslahat umat

18 Jul 2025, 11:00 AM
Sultan Selangor seru rakyat patuh fatwa demi keharmonian dan maslahat umat

SHAH ALAM, 18 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam untuk berpegang teguh kepada fatwa rasmi negeri demi menjaga keharmonian dan maslahat masyarakat Islam.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh negeri merupakan panduan sah untuk dijadikan rujukan utama oleh orang awam.

Sehubungan itu, baginda menasihatkan umat Islam di Selangor menghayati khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk “Ketelitian Dalam Berfatwa”, disampaikan serentak di semua masjid seluruh negeri.

“Baginda senada dengan petikan khutbah bahawa sesuatu fatwa yang dikeluarkan adalah secara kolektif oleh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan bukan pandangan individu semata-mata.

“Ia digubal dengan menepati konsep syura yang dianjurkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Di Selangor, jelas bahawa fatwa dikeluarkan adalah selepas melalui proses yang teratur lagi teliti.

“Dalam konteks Selangor, sesuatu fatwa boleh dibuat sama ada melalui permohonan mana-mana rakyat negeri ini, atau dengan kehendak Ahli Jawatankuasa Fatwa itu sendiri, atau atas titah baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri ini,” menurut kenyataan itu.

Jelas kenyataan tersebut, antara tujuan pengeluaran fatwa adalah untuk memberi penjelasan yang jelas serta menjadi panduan hukum syarak terhadap isu-isu semasa dalam masyarakat.

Setiap fatwa pula digubal selepas proses kajian dan penyelidikan menyeluruh oleh pakar-pakar berkaitan, sebelum dibentang dan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa sesuatu fatwa tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa, apatah lagi jika berdasarkan maklumat yang tidak lengkap atau bersifat kabur.

Titah baginda, pengeluaran fatwa merupakan satu amanah besar dan tanggungjawab berat yang memerlukan sifat teliti dan berhati-hati pada setiap peringkat.

“Sifat ketekunan inilah yang diamalkan dalam memutuskan sesuatu fatwa bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah yang terbaik, bertepatan dengan kehendak agama di samping menjaga maslahat masyarakat.

“Disebabkan itulah, ketelitian merupakan perkara yang sangat penting dalam pengeluaran sesuatu fatwa kerana ia menjadi panduan hukum kepada masyarakat.

“Mewakili pihak Ulil Amri, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertanggungjawab memastikan keputusan yang dibuat adalah tepat dan selari dengan kehendak syarak. Semoga segala kesungguhan dan usaha yang dicurahkan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah,” titah baginda.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pula bertanggungjawab menilai dan menimbang setiap cadangan fatwa sebelum disyorkan kepada DYMM Sultan Selangor untuk diperkenan.

Fatwa yang diperkenan kemudian dimaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, disemak oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dan seterusnya diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri.

“Shaikh Hasanain Muhammad Makhluf, salah seorang mantan Anggota Majlis Tertinggi Universiti Al-Azhar, Mesir pernah menyatakan bahawa: ‘Mazhab orang awam adalah berpandukan kepada pandangan muftinya (keputusan fatwa yang dikeluarkan)’,” jelas kenyataan itu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.