ad
AGENDA

MB junjung kasih titah Sultan, Selangor sudah lama rai kepelbagaian kaum

8 Feb 2025, 3:23 PM
MB junjung kasih titah Sultan, Selangor sudah lama rai kepelbagaian kaum
MB junjung kasih titah Sultan, Selangor sudah lama rai kepelbagaian kaum

KUALA LANGAT, 8 FEB: Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bahawa tiada keperluan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor sudah lama meraikan kepelbagaian yang menjadi teras dalam hidup bermasyarakat yang bermaruah serta yakin dengan cara dan fahaman masing-masing.

“Ini bukan sekadar satu bentuk bertolak ansur antara satu sama lain. Kita di Selangor mempunyai keutuhan dan kesefahaman tanpa mengira agama dan bangsa.

“Inilah asas mengapa kita dapat mencapai prestasi ekonomi seperti yang direkodkan pada tahun lalu,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri, malam ini.

Majlis yang diadakan di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jenjarom di sini, turut diserikan dengan keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

[caption id="attachment_686114" align="aligncenter" width="741"] Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menggaul Yee Sang sebagai gimik Sambutan Rumah Terbuka sempena Tahun Baharu Cina peringkat Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Kuala Langat pada 8 Februari 2025.
Turut mengiringi Baginda ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad, EXCO Pelaburan Ng Sze Han dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahir rasa tidak bersetuju terhadap cadangan mewujudkan garis panduan untuk umat Islam menghadiri perayaan agama lain.

Istana Alam Shah dalam kenyataan hari ini menyebut Baginda berpandangan cadangan itu dibuat pada waktu tidak bersesuaian, ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah demi perpaduan nasional.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan syarikat-syarikat negeri membuat persediaan awal menghadapi cabaran lanskap global yang kian berubah.

Menurutnya, pentadbiran baharu Amerika Syarikat telah memberi kerisauan kepada negara membangun, terutamanya dengan dasar tarif yang mungkin memberi kesan kepada syarikat pengeluar.

“Itu sebabnya kita harus melihat kepada pasaran-pasaran lain. Asean serta China dan India sahaja mempunyai penduduk yang mencecah tiga bilion, dan ini merupakan akses pasaran yang sudah bersedia untuk syarikat-syarikat Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin mengumumkan Kerajaan Negeri telah mengenalpasti tapak baharu dan meluluskan permohonan Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa di Kota Kemuning.

Selain sekolah Cina, tambahnya, permohonan bagi tapak baharu Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang dimohon oleh kerajaan Persekutuan di Gombak turut dipersetujui bersama.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengenalpasti tapak baharu dan meluluskan permohonan Sekolah Menengah Persendirian Cina Pin Hwa baharu di Kota Kemuning serta tapak baharu SAR yang dimohon oleh Kerajaan Persekutuan di Gombak,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.