KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat berhubung Lekukan Tropika (a) yang dikesan pada jam 8 malam tadi di latitud 17.2 utara dan longitud 110.8 timur, kira-kira 303 kilometer (km) timur laut Da Nang, Vietnam.
Menurut Pusat Operasi Cuaca & Gempa Bumi Nasional, sistem itu bergerak ke arah barat barat laut dengan kelajuan 20 km/j serta membawa kelajuan angin maksimum 56 km/j.
“Jarak Lekukan Tropika (a) dari bandar terdekat adalah kira-kira 1,318 km barat laut Kudat, Sabah,” jelas kenyataan MetMalaysia.
Justeru, terdapat beberapa risiko yang perlu diberi perhatian orang ramai setiap kali nasihat Lekukan Tropika dikeluarkan.

Antaranya termasuk kemungkinan hujan lebat berterusan yang boleh menyebabkan banjir kilat di kawasan rendah dan tebing sungai, selain angin kencang berkelajuan antara 50 hingga 60 kilometer sejam yang berpotensi mengakibatkan laut bergelora.
Keadaan itu menjadikan bot kecil, feri dan aktiviti pantai berada dalam kategori berisiko tinggi.
Perjalanan darat dan udara juga berkemungkinan terganggu, dengan nelayan dinasihatkan tidak turun ke laut manakala jadual penerbangan pula boleh mengalami kelewatan.
Selain itu, hujan berpanjangan turut meningkatkan risiko pokok tumbang serta kejadian tanah runtuh di kawasan berbukit.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengelakkan aktiviti laut dan pantai, di samping sentiasa berwaspada terhadap amaran terkini serta membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.


