ad

Kebun tuai kasih persahabatan tiga wanita beza bangsa

15 Sep 2025, 1:01 AM
Kebun tuai kasih persahabatan tiga wanita beza bangsa

Di pinggir bandar Puncak Alam, Selangor, tanah lapang di hadapan rumah tiga sahabat yang dahulu sunyi kini riuh dengan gelak tawa dan kicauan burung setiap pagi.

Di situ, Rohani Zainal, 68, Alice Loong, 65, dan Angeline, 55, berkumpul untuk berkebun, berbual dan berkongsi cerita kehidupan.

Latar belakang mereka berbeza tetapi itu bukan halangan.

Sebaliknya, ia menambah warna dan keindahan dalam persahabatan mereka.

Halaman rumah masing-masing kini menjadi kebun mini yang menghijau dengan bunga berwarna-warni dan sayur-sayuran segar seperti bayam dan terung.

Aktiviti menanam dan menjaga pokok bukan sekadar hobi, tetapi cara mereka berkongsi kisah kehidupan.

Kadang-kadang Angeline bertukar tanaman dengan Alice. Jika sayur ditanam Alice berlebihan, Angeline akan membawanya pulang untuk dimasak.

Kebun mini itu bukan sekadar ruang bercucuk tanam, tetapi juga medan menyulam persahabatan.

Kebun mini diusahakan tiga sahabat ini menghijau dengan bunga berwarna-warni dan sayur-sayuran segar seperti bayam dan terung.

Setiap pagi, Alice muncul dengan gunting kecil dan botol semburan. Senyumannya mekar seiring bunga-bunga di kebun.

Menjaga pokok menenangkan hati dan mengeratkan hubungan mereka.

Rohani atau lebih mesra disapa Kak Ani menganggap kebun mini itu sebagai ruang meluah rasa dan memberi nasihat.

“Kalau ada masalah, jangan pendam. Kita sahabat baik,” kata ibu anak satu yang berasal dari Pulau Pinang.

Hubungan mereka begitu rapat sehingga Alice mengakui, jika tidak bertemu, hatinya terasa kosong.

Persahabatan tiga wanita ini jelas menonjolkan nilai perpaduan yang tulus.

Alice menegaskan bahawa kaum dan agama hanyalah latar belakang. Paling berharga ialah persahabatan yang mekar bersama pokok-pokok yang ditanam.

“Darah kita sama, warna kulit sahaja berbeza. Kita tidak fokus pada perbezaan, sebaliknya mencari persamaan,” katanya yang menetap di sini hampir lima tahun.

Angeline (kiri), Kak Ani dan Alice seronok mengusahakan kebun mini mereka.

Angeline menambah, senyuman sudah cukup menjadi bahasa sejagat. Apabila dia tersenyum, sahabatnya pasti membalas.

Kak Ani pula menekankan bahawa mereka bukan sekadar berkongsi cerita, tetapi juga saling bertukar ilmu, menjadikan persahabatan itu lebih bermakna.

Dalam dunia yang sering sarat konflik, tiga sahabat ini memberi pesan sederhana tetapi mendalam. Hormat sesama manusia dan hargai setiap detik yang ada.

“Hidup ini singkat, jangan bergaduh,” pesan Angeline yang memiliki empat cahaya mata.

Sempena Hari Malaysia, kisah tiga sahabat ini mengingatkan kita bahawa hormat-menghormati adalah akar sebenar perpaduan.

Nilainya sederhana, tulus dan terus mekar seperti kebun mini yang mereka usahakan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.