SHAH ALAM, 29 OGOS: Kerajaan Negeri sedang menunggu hasil siasatan penuh insiden pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam 26 Ogos lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan mendapatkan laporan itu daripada polis.
“Kita akan dapatkan laporan seterusnya daripada pihak polis berhubung kejadian.
“Kita beri ruang untuk polis dapatkan kebenaran dan juga menjamin siasatan menyeluruh akan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan syarahan kebangsaan di Pusat Konvensyen MBSA di sini, hari ini.
Pada sama sama, Amirudin memberitahu beliau sudah mengarahkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail yang juga EXCO Kemajuan Desa mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan mangsa.
"Rizam sudah bertemu dengan ibu dan bapa tiri mangsa serta beliau menjelaskan Kerajaan Negeri bersedia menyokong apa pun langkah seterusnya demi menjamin keadilan dan siasatan menyeluruh," katanya.
Amirudin juga memaklumkan EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin akan mendapatkan perkembangan terkini berkaitan keadaan mangsa dari Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
“Sudah pasti mangsa dalam pemantauan serius oleh pihak polis dan JKNS kerana beliau merupakan antara saksi utama kes ini, yang sudah semestinya boleh menceritakan kebenaran ataupun apa yang berlaku.
“Insya-Allah saya percaya JKNS sedang membuat yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa terbabit,” ujarnya.
Sebelum ini, polis Selangor memaklumkan menerima laporan pelajar Tingkatan Tiga dipecayai jatuh dari aras tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata beberapa rakaman percakapan sudah direkodkan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan merangkumi pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan.