ad

EXCO: JKM santuni ibu bapa, pelajar jatuh tingkat tiga asrama

28 Ogos 2025, 4:31 AM
EXCO: JKM santuni ibu bapa, pelajar jatuh tingkat tiga asrama
EXCO: JKM santuni ibu bapa, pelajar jatuh tingkat tiga asrama

SUBANG JAYA, 28 OGOS: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyantuni ibu bapa pelajar lelaki tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam baru-baru ini.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata kaunselor sudah dihantar bagi memantau dan memberi kaunseling kepada ibu bapa pelajar terbabit yang mungkin masih trauma.

“Bagi kes ini kita berurusan dengan JKM dan mereka telah gerakkan pelindung kanak-kanak untuk santuni pelajar tersebut.

“Seterusnya, kaunselor JKM untuk menyantuni ibu bapa pelajar terbabit, iaitu kaunseling peringkat awal seperti post trauma. Saya akan melawat pelajar berkenaan esok di hospital,” katanya.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui media selepas Program Gender Outlook Forum 2025 di The Saujana Hotel Kuala Lumpur pada 28 Ogos 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata demikian pada program Gender Outlook Forum 2025 yang menghimpunkan 200 peserta melibatkan agensi kerajaan dan sektor swasta serta ahli akademik di sini hari ini.

Sebelum ini, polis Selangor mengesahkan menerima laporan berhubung insiden pelajar lelaki tingkatan tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Ketuanya Dato’ Shazeli Kahar berkata, pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, kes disiasat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, serta latar belakang sosial mangsa dan rakan sekeliling.

Beliau turut memaklumkan, polis kini sedang mengumpul keterangan daripada saksi dan individu berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.