MERU, 26 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid meninjau kerosakan akibat ribut di beberapa kawasan bersama pejabat daerah, ketua kampung dan agensi bantuan.
Antara kawasan terjejas ialah Taman Meru Impian membabitkan hampir 10 rumah, Jalan Paip melibatkan dua rumah warga emas rosak teruk serta Jalan Jambu yang menjejaskan sebuah rumah penerima zakat (asnaf).
“Beberapa kediaman di Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman dan Bukit Cerakah turut terkesan, dengan bancian lanjut sedang dibuat ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Semua permohonan bantuan akan dibuat secara berkelompok bagi mengelak pengurusan berulang. Nama mangsa dikumpul ketua kampung atau JPKK sebelum dihantar ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Meru,” katanya ketika dihubungi.
Beliau memaklumkan pejabat daerah menyediakan bantuan antara RM250 hingga RM500 setiap keluarga bergantung tahap kerosakan, manakala Lembaga Zakat Selangor akan membaik pulih sepenuhnya rumah asnaf di Jalan Jambu.
Selain itu, PKM DUN Meru dan pusat khidmat masyarakat turut menyalurkan bantuan tambahan mengikut kadar kerosakan.
Dalam kejadian malam tadi, sebuah kereta di Jalan Paip ditimpa pokok tumbang menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera ringan di kepala dan menerima tiga jahitan.
“Beberapa kenderaan lain di Kampung Budiman juga rosak, namun tiada pemindahan dibuat kerana penduduk menumpang di rumah keluarga terdekat,” jelasnya.
Mariam menasihati penduduk terjejas segera mengisi borang bantuan melalui pautan pejabat daerah, mencetak serta mendapatkan pengesahan ketua kampung, penghulu atau pihaknya.