SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan memberi jaminan akan terus mengambil serius setiap aduan awam yang disalurkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi memperkukuh ketelusan dan menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah aduan yang diterima melalui sistem berkenaan menunjukkan peningkatan saban tahun, menandakan keyakinan rakyat terhadap saluran rasmi itu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi di Dewan Rakyat mengenai jumlah aduan diterima SISPAA setiap tahun dari 2018 hingga 30 Jun 2025 mengikut agensi kerajaan serta punca utama bagi tiga agensi yang mencatat aduan tertinggi.
Menurut Dr Zaliha, 61,431 aduan awam direkodkan sepanjang tempoh berkenaan dengan kategori tertinggi membabitkan isu penguatkuasaan, kemudahan dan infrastruktur awam, ekspektasi pelanggan serta penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata tiga kementerian yang menerima aduan paling banyak ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Dalam Negeri, yang antaranya membabitkan agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Imigresen.
Dr Zaliha berkata pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2022 mengarahkan semua kementerian dan agensi menggunakan SISPAA sebagai medium utama bagi menyalurkan aduan, sekali gus membolehkan pemantauan dan maklum balas dilaksanakan dengan lebih telus serta berkesan.
“Kerajaan melihat trend peningkatan aduan ini bukan sebagai masalah semata-mata, tetapi juga sebagai indikator positif bahawa rakyat semakin yakin menyalurkan pandangan melalui platform rasmi,” katanya.
Beliau menambah selain aduan, sistem SISPAA turut merekodkan cadangan, pertanyaan dan penghargaan yang mencerminkan persepsi positif rakyat terhadap perkhidmatan awam.