Mahkamah: Keputusan keluarkan nikotin vape daripada senarai racun tidak rasional

15 Mei 2026, 11:42 AM
Mahkamah: Keputusan keluarkan nikotin vape daripada senarai racun tidak rasional

SHAH ALAM, 15 MEI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan tindakan kerajaan mengecualikan nikotin cecair bagi produk vape dan rokok elektronik daripada senarai racun adalah tidak rasional serta bertentangan dengan Akta Racun 1952.

Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membatalkan sebahagian Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 yang mengecualikan cecair dan gel vape daripada Senarai Racun.

Mahkamah mendapati keputusan Menteri Kesihatan ketika itu untuk mengeluarkan nikotin cecair daripada senarai racun dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun sekali gus bertentangan (ultra vires) dengan Seksyen 6 Akta Racun 1952.

Pada 14 Oktober 2023, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Malaysian Green Lung (MGLA) dan Voice of the Children (VOC) memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Menteri Kesihatan dan kerajaan.

Peguam K Shanmuga yang mewakili ketiga-tiga NGO berhujah pengecualian itu secara tidak langsung membolehkan produk vape dan rokok elektronik mengandungi nikotin dijual secara terbuka tanpa sekatan termasuk kepada individu bawah 18 tahun.

Dalam penghakimannya, Aliza berkata keputusan Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dibuat atas pertimbangan ekonomi berkaitan pelaksanaan duti eksais terhadap produk vape yang diumumkan dalam Belanjawan 2023.

“Walaupun mengakui rokok elektronik dan cecair vape berbahaya kepada kesihatan serta Malaysia berkewajipan mengawal dan mengehadkan bekalan, penjualan dan penggunaannya, responden pertama (Dr Zaliha) tetap membuat perintah yang dipertikaikan itu bagi melaksanakan keputusan berkaitan percukaian,” katanya seperti dilapor BH.

Menurut beliau, pengecualian itu turut mewujudkan kelompangan undang-undang selama kira-kira setahun tujuh bulan sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 berkuat kuasa pada 1 Oktober tahun lalu.

Aliza berkata proses rundingan dengan Lembaga Racun juga tidak memenuhi kehendak undang-undang kerana tiada perbincangan lanjut dilakukan selepas lembaga itu menolak cadangan pengecualian nikotin secara sebulat suara.

“Perundingan di bawah undang-undang mesti dibuat secara sedar, bermakna dan mempunyai tujuan dan berkesan.

“Dalam kes ini, tiada mesyuarat fizikal antara menteri dan lembaga, malah tiada perbincangan lanjut selepas lembaga sebulat suara menolak cadangan untuk mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada senarai racun.

“Perundingan yang didakwa dibuat oleh responden pertama hanyalah pematuhan formal semata-mata. Ia kelihatan seolah-olah sudah ditetapkan lebih awal.

“Jika saya boleh menyatakannya secara terus terang, ia seolah-olah satu keputusan yang sudah dimuktamadkan,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun tidak mengeluarkan sebarang perintah kos memandangkan kes berkenaan melibatkan kepentingan awam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.