KLANG, 24 OGOS: Isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik tidak seharusnya dipolitikkan sebaliknya diselesaikan mengikut perundangan, tegas EXCO perpaduan.
Datuk Rizam Ismail berkata tindakan mempolitikkan perkara itu hanya akan menimbulkan perpecahan dan menggugat keharmonian negara.

“Setakat ini tiada laporan rasmi diterima berhubung pemasangan bendera terbalik. Alhamdulillah, ini bermakna rakyat Selangor peka dengan cara pemasangannya.
“Cuma, isu bendera ini perlu diselesaikan secara perundangan tanpa dipolitikkan hingga boleh membawa kepada perpecahan negara. Namun, buat masa ini semuanya masih dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Minggu Perpaduan peringkat Selangor di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator K. Saraswathy.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan menerima 38 laporan berhubung pengibaran Jalur Gemilang terbalik yang tular di media sosial di seluruh negara.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata daripada jumlah itu, 17 laporan diterima di Pulau Pinang manakala selebihnya di negeri lain.
Dalam pada itu, Rizam turut memaklumkan seramai 373 pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ketua kampung tradisi akan dilantik sebagai ejen perpaduan.

Menurutnya, kesemua mereka daripada sembilan daerah bakal mengikuti latihan pensijilan program mediator komuniti pada tahun depan.
“Mereka ini akan menjadi ejen perpaduan yang mendapat tauliah untuk memupuk semangat cintakan negara selain mampu menyelesaikan masalah kecil tanpa perlu dibawa ke perundangan lebih besar.
“Semangat cintakan negara ini perlu dipupuk bukan sahaja di peringkat kanak-kanak tetapi semua lapisan umur. Ini bagi mengelakkan berlakunya pelbagai perkara tidak diingini termasuk memasang bendera terbalik,” katanya.
