SHAH ALAM, 21 OGOS: Air daripada 27 saluran paip daripada semua 34 loji rawatan air (LRA) di Selangor mencapai piawaian selamat diminum setakat ini, kata EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim.
Menyatakan dua saluran ditambah tahun ini dan empat lagi antara 2026 hingga 2028, beliau berkata air dari semua saluran boleh diminum tanpa risiko kesihatan dalam tiga tahun lagi.
“Bagi pematuhan standard kualiti air minum (DWQS), setiap tahun Selangor memang sentiasa berada pada tahap baik iaitu 99.94 peratus pada Mei lalu," katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata 34 loji ada rangkaian paip sendiri kecuali satu yang dikongsi dua loji dan setiap rangkaian itu menuju ke kolam imbangan yang menyalur air kepada pengguna.
Menurut Ir Izham lagi, dua kaedah pemantauan digunakan bagi memastikan kualiti air terpelihara meliputi tahap asid atau alkali (pH) air, kekeruhan, warna dan baki klorin bebas.
pemeriksaan 1,500 sampel air dihantar ke makmal untuk dianalisis secara berkala.
penganalisis kualiti air pengagihan hibrid masa nyata (Hydra), stesen pemantauan kualiti dalam talian, memberi isyarat penggera jika anomali (penyimpangan sifat) dikesan dalam air.
Beliau juga memberitahu 190 stesen Hydra dibina untuk meneliti bacaan setiap 15 minit yang datanya diperoleh setiap hari demi memastikan kualiti air sentiasa terpelihara.
Ir Izham menjelaskan stesen Hydra bukan sahaja dipasang di loji rawatan air tetapi mana-mana lokasi yang memerlukan pemantauan dan isyarat penggera berbunyi jika berlaku bacaan aneh.
“Kita tidak mahu air di loji baik tetapi kualitinya turun apabila masuk ke paip,” katanya.