
SHAH ALAM, 13 NOV: Projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa Dua bernilai RM479 juta yang dijadualkan bermula tahun depan dijangka memperkukuh kelestarian jaminan bekalan air di Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek yang dijangka siap pada 2029 itu mempunyai kapasiti rawatan sebanyak 200 juta liter sehari (JLH).
“Projek ini penting demi memastikan kelestarian jaminan bekalan air untuk manfaat rakyat Selangor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Selain itu, katanya, program pemulihan dan pembaikan LRA membabitkan dua komponen peruntukan iaitu RM75 juta melalui Pengurusan Aset Air Berhad dan RM68.2 juta oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
“Peruntukan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad merangkumi kerja penaiktarafan LRA Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Batu, Rantau Panjang, Langat 2, Sungai Labu, Sungai Langat, Sungai Semenyih dan Wangsa Maju.
“Manakala peruntukan Air Selangor bagi 2027 melibatkan penaiktarafan LRA Ampang Intake, Batang Kali, Bernam River Headworks, Bukit Nanas, Kuala Kubu Bharu, Labohan Dagang, Salak Tinggi, Semenyih 2, Sungai Gombak, Sungai Pangsoon, Sungai Sireh dan Sungai Tengi,” katanya.
Amirudin berkata sebanyak RM209.2 juta turut diperuntukkan bagi projek Keterhubungan Grid Air yang merangkumi pembinaan prasarana serta perkhidmatan perunding untuk beberapa jajaran di wilayah Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Selangor.
“Projek ini merupakan antara inisiatif strategik bagi memastikan kelangsungan dan daya tahan sistem bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Ia menyasarkan 100 peratus keterhubungan air bagi 36 terminal empangan menjelang akhir 2028,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM120.8 juta pada 2027 bagi melaksanakan Program Penurunan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) menerusi pelbagai pendekatan teknikal untuk mengurangkan kehilangan air dalam sistem agihan.
“Antara pelaksanaan utama termasuk pemasangan Pressure Transient, peluasan liputan District Metering Zone (DMZ) serta pengurusan tekanan dalam Water Balance Area (WBA).
“Usaha ini turut merangkumi pemasangan peralatan pengesanan kebocoran dan sistem pengurusan tekanan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta mengurangkan kehilangan air.
“Langkah berkenaan termasuk pemasangan Permanent Leak Noise Correlating Loggers (PLNCL) dan Advance Pressure Management Systems (APMS),” katanya.
Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir. Izham Hashim memaklumkan Selangor bakal memiliki loji rawatan air terbesar dan termoden di Asia Tenggara yang mampu menghasilkan 1,400 JLH menerusi Projek Skim Bekalan Air Rasau.
Beliau menjelaskan sasaran itu selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi menjamin bekalan air 24 jam, selain memperkukuh keupayaan sistem pengurusan bekalan air dalam menghadapi cabaran pencemaran.







