SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerja perobohan Stadium Malawati di sini yang menjadi sebahagian projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) telah bermula sejak 1 Ogos.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dalam kenyataan memaklumkan proses itu dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan sebelum pembinaan semula kemudahan sukan moden itu diteruskan.
“Proses ini dijangka siap sepenuhnya pada awal 2026 tertakluk kepada keadaan cuaca serta kelancaran operasi di tapak.
“Pihak kontraktor pelaksana telah diarahkan untuk mematuhi sepenuhnya prosedur keselamatan, kawalan habuk dan pengurusan bunyi bising bagi memastikan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara,” katanya.

Pembangunan semula KSSA dilaksana tiga fasa sehingga 2029, bermula dengan perobohan Stadium Shah Alam yang siap beberapa hari lebih awal daripada daripada tarikh 30 Jun yang ditetapkan.
Fasa kedua melibatkan pembinaan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan dan sayap belia dijangka bermula pertengahan 2027, manakala fasa terakhir melibatkan terminal bersepadu serta hotel antara Januari 2028 hingga Disember 2029.

KSSA bakal menawarkan pelbagai kemudahan awam dan komersial termasuk 40 peratus kawasan rekreasi awam, gelanggang sukan dalaman, dewan serba guna, hotel, masjid, ruang acara serta ruang jualan.
Selain itu, stadium baharu berkapasiti 35,000 hingga 45,000 penonton akan dibina dengan reka bentuk moden, mesra pengguna dan bertaraf antarabangsa, serta mengambil kira faktor kekerapan banjir dan kemampuan menganjurkan pelbagai acara termasuk konsert.



