ad

Lelaki maut ditikam, empat individu ditahan bantu siasatan

17 Ogos 2025, 5:06 AM
Lelaki maut ditikam, empat individu ditahan bantu siasatan

KUANTAN, 17 OGOS: Empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga asing di sebuah rumah kongsi pekerja lombong bijih timah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata kesemua suspek yang ditahan dekat sini semalam terdiri daripada tiga warga asing berasal dari Bangladesh dan Myanmar serta seorang lelaki tempatan berusia 38 hingga 64 tahun.

Beliau berkata mangsa yang berusia 42 tahun merupakan penghuni rumah kongsi berkenaan bersama kesemua suspek dengan seorang daripadanya mengaku menikam lelaki itu kerana membuat kacau ganggu dalam keadaaan mabuk.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemukan sebilah pisau selain empat sampel darah diambil untuk tujuan analisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini 3 pagi semalam oleh rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia akibat luka tikaman di bahagian tubuh.

“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.