SHAH ALAM, 14 OGOS: Persatuan Pemandu Grab Malaysia menyambut baik cadangan pelaksanaan caj penghantaran minimum standard di sebalik penolakan masyarakat.
Presidennya Mohd Azril Ahmat berkata kenaikan caj tersebut mempunyai kesan positif dan negatif tersendiri terhadap industri penghantaran dan e-panggilan.
"Permintaan untuk kenaikan caj ini datang sendiri daripada kalangan penunggang kerana kadar semasa yang rendah menyebabkan segelintir penghantar mula beralih kepada pekerjaan tetap.
"Kalau caj dinaikkan, ia membantu penunggang untuk kekal dalam industri kerana pendapatan lebih baik.
"Tetapi dalam masa sama, permintaan penghantaran mungkin berkurang kerana orang akan memilih untuk keluar membeli sendiri," katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (Mamba) menyifatkan cadangan pelaksanaan caj itu berisiko menjejaskan aktiviti pembelian dalam talian, sekali gus memberi kesan negatif kepada ekonomi digital dan usahawan kecil.
Mamba memaklumkan berdasar tinjauan melibatkan 720 pengguna dalam talian, 93.5 peratus mengakui mereka mungkin mengurangkan atau menghentikan pembelian sekiranya kos penghantaran dinaikkan,
Manakala 59 peratus menyatakan hanya akan membeli dalam kuantiti lebih kecil jika caj minimum ditetapkan.
Tambah Mohd Azril, situasi itu memberi kelebihan kepada perkhidmatan membawa penumpang seperti GrabCar kerana pengguna akan menggunakan pengangkutan untuk ke kedai, berbanding membuat pesanan secara dalam talian.
Beliau turut mengingatkan jika caj terlalu tinggi, tempahan penghantaran berkemungkinan merosot dan jumlah kerja untuk penunggang juga menurun.
Katanya, mengekalkan kadar caj semasa dalam jangka panjang mungkin lebih baik untuk memastikan penunggang menerima lebih banyak pesanan walaupun dengan bayaran lebih rendah.
Dalam masa sama, Azril mencadangkan supaya penunggang memanfaatkan peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengembangkan kemahiran serta menjana pendapatan tambahan.
"Kerajaan sudah ada inisiatif TVET. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja, penunggang boleh tingkatkan kemahiran dan membuka peluang pendapatan lain selain e-panggilan," ujarnya.