ad

Tinjauan: Kenaikan caj penghantaran jejas belian dalam talian

14 Ogos 2025, 7:39 AM
Tinjauan: Kenaikan caj penghantaran jejas belian dalam talian

SHAH ALAM, 13 OGOS: Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (Mamba) menyifatkan cadangan pelaksanaan caj penghantaran minimum standard berisiko menjejaskan aktiviti pembelian dalam talian, sekali gus memberi kesan negatif kepada ekonomi digital dan usahawan kecil.

Menerusi kenyataan, Mamba memaklumkan berdasar tinjauan melibatkan 720 pengguna dalam talian, sebanyak 89.3 peratus responden menolak cadangan kenaikan caj tersebut dengan majoriti memilih kos serendah mungkin tanpa mengira jenama kurier.

Sementara itu, 93.5 peratus mengakui mereka mungkin mengurangkan atau menghentikan pembelian secara dalam talian sekiranya kos penghantaran dinaikkan, manakala 59 peratus menyatakan hanya akan membeli dalam kuantiti lebih kecil jika caj minimum ditetapkan.

Tinjauan turut menunjukkan 80.6 peratus pengguna memilih kos penghantaran paling rendah manakala 82.9 peratus tidak menetapkan pilihan kurier dan hanya mengambil kira harga penghantaran.

Selain itu, 55.3 peratus menganggap kadar semasa berpatutan dan 92.8 peratus tidak sanggup membayar lebih walaupun untuk perkhidmatan lebih pantas.

Setiausaha Agungnya, Alvin Low Wei Yan berkata dapatan itu mengukuhkan kebimbangan peniaga kecil sejak beberapa bulan lalu bahawa kenaikan caj penghantaran boleh memperlahankan pertumbuhan sektor e-dagang yang sedang berkembang pesat.

"Kita mesti mengelak daripada mewujudkan situasi di mana dasar yang berniat baik akhirnya meminggirkan usahawan mikro yang sebenarnya ingin dibantu oleh kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.

Beliau menegaskan, sebarang dasar baharu tidak wajar menjejaskan perniagaan mikro yang menjadi fokus bantuan kerajaan menerusi RMK13, yang antara lain menekankan keterangkuman digital, pengukuhan daya saing PKS, dan pembinaan rantaian bekalan berdaya tahan.

Alvin Low menegaskan mengekalkan pilihan penghantaran yang mampu milik dan fleksibel adalah kunci untuk mencapai matlamat tersebut.

"Apabila kos penghantaran meningkat, pihak pertama yang terkesan adalah pengguna yang peka terhadap harga dan peniaga kecil dalam talian yang bergantung kepada mereka.

"Ini secara langsung menjejaskan penyertaan digital dan pertumbuhan pendapatan dalam kalangan peniaga mikro dan butik; kumpulan yang ingin disokong oleh Rancangan Malaysia Ke-13," jelasnya

Beliau juga menyeru satu sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri bagi memastikan sebarang pembaharuan harga penghantaran dibuat secara adil, berasaskan data, dan tidak mewujudkan halangan tambahan kepada peniaga kecil mahupun pelanggan.

"Ketika kita bergerak ke hadapan dengan matlamat pembangunan digital dan PKS, perbincangan mengenai caj penghantaran tidak seharusnya mengabaikan realiti pengguna dan kelestarian peniaga.

"Logistik yang mampu milik adalah tunjang kepada perdagangan dalam talian, khususnya bagi perniagaan mikro," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.