SHAH ALAM, 14 Ogos: Kecewa terhadap layanan diterima ketika belajar serta kehidupan di Malaysia adalah punca wanita warga asing mengamuk dan mencederakan orang awam di Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati suspek, penuntut di sebuah universiti awam berada dalam keadaan tertekan sebelum kejadian.
"Tiada rekod menunjukkan suspek mengambil ubat atau mengalami kemurungan, namun beliau dilihat tertekan dengan isu dan permasalahan yang dihadapinya. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron memaklumkan, suspek kini direman tujuh hari sehingga 20 Ogos bagi membantu siasatan. Setakat ini, polis sudah merakam keterangan 11 saksi termasuk mangsa.
Beliau menambah, dua mangsa yang masih menerima rawatan di hospital dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih ditahan di wad.
Dalam insiden jam 11.58 pagi semalam, wanita berusia 24 tahun itu didakwa menyerang orang awam di di kawasan lampu isyarat persimpangan jalan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang menggunakan pisau.
Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian dengan bantuan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.