KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Wanita warga asing ditahan selepas dipercayai memandu dalam keadaan cuai sehingga melanggar tiga motosikal, sebelum menyerang orang awam di kawasan lampu isyarat persimpangan jalan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Bandar Kajang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 11.58 pagi dan siasatan awal mendapati wanita berusia 24 tahun itu memandu secara berbahaya, sebelum keluar dari kenderaan dan menyerang orang awam dengan sebilah pisau.
“Hasil bantuan orang awam, wanita terbabit ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, enam individu berusia 21 hingga 60 tahun cedera, dengan dua daripadanya ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut manakala empat lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Beliau berkata tiga motosikal turut rosak akibat dilanggar kenderaan wanita terbabit dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Naazron berkata, wanita itu ditahan dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dibuat hri ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Insp Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817, bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial video kejadian terbabit yang memaparkan seorang wanita terlibat kemalangan, sebelum keluar dari kenderaannya dengan memegang sebilah pisau.
Turut kelihatan beberapa penunggang motosikal yang cedera dan cubaan orang ramai menahan wanita terbabit.
- BERNAMA