SEREMBAN, 12 OGOS: Lelaki berusia 28 tahun maut ditikam di dada dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Seri Pagi, Senawang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata siasatan awal mendapati kejadian 6.50 petang itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
"Suspek menikam dada mangsa menggunakan pisau hingga menyebabkan kematian. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada 7.28 malam oleh pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata, suspek berusia 31 ditahan di lokasi kejadian dengan bantuan penduduk taman perumahan tersebut serta merampas sebilah pisau.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan, suspek direman bermula hari ini hingga 18 Ogos.
Dalam pada itu seorang jiran berusia 66 tahun di kawasan perumahan itu berkata dia terdengar jeritan bapa mangsa lalu bergegas keluar.
"Saya lihat mangsa berlumuran darah, jiran juga ramai keluar...saya bersama penduduk membantu mengikat suspek dengan tali supaya dia tidak melarikan diri,” katanya.
- BERNAMA