KLANG, 16 OGOS: Kerja pengorekan Sungai Klang sepanjang 54 kilometer (km) dijangka selesai dalam tempoh lima tahun sekali gus memastikan kedalaman air Sungai Klang kembali pulih.
EXCO infrastruktur berkata, berikutan lambakan sampah terlalu banyak, paras air Sungai Klang hanya tinggal satu meter sahaja berbanding kedalaman sebenar empat meter, selebihnya hanya sampah dan mendapan lumpur.
Dato' Ir Izham Hashim berkata, Kerajaan Negeri menerusi projek bawah Gerbang Maritim Selangor (SMG) kendalian Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) melakukan kerja pengorekan Sungai Klang bermula dua tahun lalu.
Beliau berkata, bukan plastik dan sampah pukal sahaja dikeluarkan tetapi tilam, basikal dan kereta sorong juga ditemui.
"Inilah hasil tangan mereka yang tidak beri perhatian kepada kebersihan sungai. Setakat ini, kerja pengorekan dilakukan tiga jentera pengorek dilaksanakan sejauh 8km dan untuk seluruh Sungai Klang ia ambil masa lima tahun.

"Memang rumit sebab kedalaman Sungai Klang empat meter tetapi tiga meter sahaja penuh dengan sampah dan mendapan lumpur, air ada satu meter sahaja.
"Namun, kerja pengorekan perlu dilakukan dan jadikan empat meter supaya dapat bantu bekalan air untuk Sungai Rasau serta kurangkan banjir kerana kapasiti ada.
"Apabila kapasiti (kedalaman) ada, perlu perkukuh tebing bagi elak banjir... itu juga kita buat sekali bawah pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," kata beliau.
Tidak hanya bergantung dua jentera pembersihan sungai, Izham memaklumkan pembinaan mini perangkap sampah (log boom) akan dilaksana di longkang utama (monsoon drain) bagi mengurangkan sampah di Sungai Klang.

Katanya, usaha itu akan dilaksana dalam masa terdekat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di longkang utama yang menjadi pertemuan dengan anak Sungai Klang.
"Sebelum ini kita pasang 'log boom' di Sungai Klang tetapi kini untuk kurangkan sampah, peruntukan dikeluarkan untuk bina mini 'log boom' di longkang utama.
"Peruntukan sudah diluluskan dan diuruskan PBT. Ia akan dilaksana dalam masa terdekat," ujarnya.
Sejak 2019 hingga Ogos tahun lalu, lebih 88,000 tan metrik sampah dikeluarkan dan jumlah itu bersamaan berat 470 pesawat Boeing 747.
Daripada jumlah itu, lebih 3,000 tan sampah dikeluarkan menerusi penggunaan dua jentera pembersihan sungai Interceptor 002 dan 005.







