Silat bukan sukan ‘anak tiri’, Selangor salur RM100,000 sokong pembangunan

10 Ogos 2025, 8:07 AM
Silat bukan sukan ‘anak tiri’, Selangor salur RM100,000 sokong pembangunan
Silat bukan sukan ‘anak tiri’, Selangor salur RM100,000 sokong pembangunan
Silat bukan sukan ‘anak tiri’, Selangor salur RM100,000 sokong pembangunan
Silat bukan sukan ‘anak tiri’, Selangor salur RM100,000 sokong pembangunan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Dakwaan kononnya Kerajaan Negeri meminggirkan pembangunan sukan silat di Selangor adalah tidak berasas, tegas ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ahmad Azri Zainal Nor memberitahu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan MBI menyalurkan RM100,000 sepanjang 2024 hingga kini bagi menyokong pembangunan dan penganjuran aktiviti silat di seluruh negeri.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bersama penerima sumbangan ketika Program Serahan Sumbangan Yayasan MBI kepada atlet dari pelbagai bidang sukan di Shah Alam pada 3 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Setiap tahun, pelbagai program silat di Selangor menerima bantuan berdasarkan permohonan yang dibuat oleh penganjur.

“Sumbangan disalurkan bergantung kepada jenis dan skala program yang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Beliau menjelaskan, permohonan dana dibuka sekali setahun kepada badan bukan kerajaan (NGO), persatuan sukan berdaftar dan sekolah yang menjadi tuan rumah kejohanan.

Menurutnya, pihaknya komited memastikan silat terus mendapat tempat di hati generasi muda serta kekal menjadi kebanggaan Selangor.

“Saya nasihatkan semua pihak agar menyemak fakta sebelum membuat sebarang kenyataan kerana mustahil untuk mengatakan Kerajaan Negeri tidak menyokong usaha memperkukuh sukan silat yang juga merupakan warisan tradisional bertaraf antarabangsa,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pelatih Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia, Batang Kali pada 7 Mei 2024. Foto Facebook Amirudin Shari

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan bahawa pesilat yang menjuarai kejohanan di peringkat daerah tidak diberi peluang melangkah ke peringkat lebih tinggi berikutan tiada kesinambungan kejohanan peringkat negeri.

Pengguna media sosial turut menggesa Kerajaan Negeri menganjurkan kejohanan silat peringkat negeri bagi membolehkan pesilat terbaik mewakili Selangor ke pentas kebangsaan.

Peserta silat menunjukkan aksi ketika Kejohanan Seni Bela Diri Selangor Xtiv di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 29 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI