ad

MB: Pelancongan antara tonggak pembangunan Selangor, fokus kepada nilai tambah

10 Ogos 2025, 1:00 AM
MB: Pelancongan antara tonggak pembangunan Selangor, fokus kepada nilai tambah
MB: Pelancongan antara tonggak pembangunan Selangor, fokus kepada nilai tambah

SUBANG JAYA, 10 OGOS: Kerajaan Negeri tekad untuk terus memperkasa sektor pelancongan sebagai salah satu tonggak utama pembangunan Selangor menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tumpuan diberikan kepada pelancongan berasaskan nilai yang merangkumi warisan, agro-pelancongan, sukan, perubatan dan pendidikan.

Beliau menjelaskan usaha memperluas akses pelaburan strategik serta kerjasama antarabangsa turut diperkukuh bagi mengangkat Selangor ke tahap lebih tinggi di peta pelancongan dunia.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Anugerah Industri Pelancongan 2025 anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Tourism Selangor di Sunway Resort Hotel di Subang Jaya pada 9 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Tahun lalu, Selangor berjaya mengekalkan gelaran sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia untuk tahun keempat berturut-turut, menyumbang lebih 34 juta pelawat domestik.

“Ini jelas membuktikan tarikan pelancongan di Selangor secara konsisten menjadi pilihan rakyat Malaysia sendiri,” katanya ketika berucap pada Anugerah Industri Pelancongan 2025 (TIA2025) di Sunway Resort Hotel di sini malam tadi.

Menurut Amirudin, sektor pelancongan turut memberi sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.

“Pada 2024, Selangor merupakan negeri tertinggi menyumbang kepada KDNK nasional dengan nilai RM432.1 bilion, di mana 61.1 peratus daripadanya datang daripada sektor perkhidmatan yang melibatkan industri pelancongan.

“Saya menyeru agar kita terus bersatu memperkasa pelancongan Selangor demi pembangunan ekonomi mampan, kesejahteraan rakyat dan kecemerlangan negeri,” katanya.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik perasmian pada Anugerah Industri Pelancongan 2025 anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Tourism Selangor di Sunway Resort Hotel, Subang Jaya pada 9 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Majlis penganugerahan berprestij itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Ekonomi Dato’ Hanifah Hajar Taib dan EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim.

Mereka turut menyampaikan sebahagian daripada 117 anugerah yang merangkumi kategori hospitaliti, hotel, pemandu pelancong, agro-pelancongan, eko-pelancongan, operator pelancongan, media, pusat membeli-belah dan pusat konvensyen.

Media Selangor turut menerima pengiktirafan sebagai Platform Media Terbaik.

Memasuki tahun kedua penganjuran, TIA bertujuan merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) selain persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Ketua Kluster Perkhidmatan Korporat Media Selangor Mohd Zulkifli Ismail (tiga, kiri) bergambar bersama kakitangan Media Selangor yang hadir selepas agensi itu dinobatkan Platform Media Terbaik pada Anugerah Industri Pelancongan 2025 anjuran Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Tourism Selangor di Sunway Resort Hotel di Subang Jaya pada 9 Ogos 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.