Piala Sultan Selangor kembali gegar Stadium Merdeka 27 September

7 Ogos 2025, 8:10 AM
Piala Sultan Selangor kembali gegar Stadium Merdeka 27 September
Piala Sultan Selangor kembali gegar Stadium Merdeka 27 September
Piala Sultan Selangor kembali gegar Stadium Merdeka 27 September

KLANG, 7 OGOS: Kejohanan bola sepak piala berprestij, Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 edisi ke-21 dijadual berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 27 September depan.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan TSSC berkata pemilihan stadium bersejarah itu bagi tahun kedua berturut-turut bertujuan mengembalikan nostalgia perlawanan klasik dua kuasa besar bola sepak antara Selangor dan Singapura.

Menurut Tan Sri Abd Karim Munisar, pihaknya memperuntukkan 20,000 tiket mengikut kapasiti stadium yang mula dijual pada harga RM15 untuk tempat duduk biasa dan RM40 bagi tempat duduk grandstand.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor (TSSC) Tan Sri Abd Karim Munisar dan Datuk Bandar Klang  Dato’ Abd Hamid Hussain (kiri) bercakap kepada media selepasjelajah promosi dan penyerahan tiket TSSC di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang pada 7 Ogos 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Tahun ini hadiah untuk cabutan bertuah berbeza, kalau tahun lepas sebiji kereta, tahun ini ada dua biji kereta, termasuk dua telefon pintar dan pakej penginapan ke Hotel Marriott Sabah serta Hotel Noble Melaka untuk empat hari, tiga malam.

“Di samping itu, persembahan murid-murid sekolah dan juga akan ada elemen kejutan yang dapat ditonton pada malam tersebut jika mahu merasai pengalaman ini peminat perlu hadir ke stadium,” katanya ketika ditemui selepas jelajah promosi dan penyerahan tiket TSSC di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini, hari ini.

Pengerusi dan Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor (TSSC) Tan Sri Abd Karim Munisar (kanan) menyerahkan replika tiket kepada Datuk Bandar Klang  Dato’ Abd Hamid Hussain simbolik merasmikan jelajah promosi dan penyerahan tiket TSSC di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Klang pada 7 Ogos 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Orang ramai boleh mendapatkan tiket di lokasi berikut:

  • Restoran Uncle K, SACC Mall Shah Alam

  • Concorde Hotel Shah Alam

  • Concorde Hotel Kuala Lumpur

Tambah Abd Karim, pihaknya giat menjelajah ke pihak berkuasa tempatan bagi mendekatkan TSSC dengan warga kerja perbandaran untuk menyemarakkan sokongan terhadap pasukan Gergasi Merah.

“Tujuan utama promosi ini ialah memberi peluang kepada semua, khususnya kakitangan MBDK, untuk mengenali sejarah dan perkembangan TSSC.

“Kita mahu mereka menjiwai kejohanan ini yang kini memasuki edisi ke-21 dan terus menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu,” katanya.

Pada edisi lalu, Selangor menewaskan Singapura 2-1, sekali gus mencipta kemenangan hatrik bagi tahun 2019, 2023 dan 2024. Stadium sama turut menyaksikan kehadiran lebih 20,000 penyokong biarpun perlawanan berlangsung dalam hujan lebat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama pasukan pilihan Selangor setelah memenangi Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR