ad

Skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ tertakluk Akta Kredit Pengguna 2025

4 Ogos 2025, 11:34 AM
Skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ tertakluk Akta Kredit Pengguna 2025

SHAH ALAM, 4 OGOS: Kerajaan menegaskan syarikat yang menawarkan perkhidmatan skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) akan tertakluk kepada kawal selia ketat di bawah Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, Rang Undang-Undang Kredit Pengguna yang baru diluluskan akan mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu untuk industri pemberi kredit bukan bank, termasuk skim BNPL yang semakin popular dalam kalangan pengguna muda.

“Di bawah akta, semua syarikat BNPL perlu mematuhi standard perlakuan dan amalan pemberi kredit yang bertanggungjawab. Ini termasuk penilaian kemampuan berhutang (affordability assessment) sebelum sebarang pembiayaan diberikan,” katanya menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong).

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Foto BERNAMA

Penilaian kemampuan membayar semula hutang akan menjadi syarat wajib bagi semua penyedia BNPL, bagi mengelakkan pengguna – terutama golongan muda – daripada terjerumus dalam beban hutang berlebihan dan tekanan kewangan serius.

Selain itu, terma urus niaga juga perlu adil dan telus, termasuk dalam menetapkan caj dan fi yang dikenakan kepada pengguna. Tatacara pengutipan hutang juga mesti dilakukan secara profesional dan berhemah.

Amir Hamzah menjelaskan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan menjadi badan pemantau utama dalam memastikan semua syarikat BNPL mematuhi peraturan ditetapkan. SKP diberi kuasa penuh untuk mengambil tindakan pentadbiran, sivil atau jenayah terhadap sebarang ketidakpatuhan yang menjejaskan pengguna.

“SKP akan memfokuskan kepada perlindungan pengguna, ketelusan, serta pembangunan pasaran kredit yang lebih bertanggungjawab,” tambah beliau.

Untuk memperoleh lesen operasi di bawah AKP, syarikat BNPL perlu memenuhi pelbagai keperluan termasuk tadbir urus yang baik, kelayakan ahli lembaga pengarah serta keperluan kewangan minimum.

Dalam masa sama, kerajaan turut menekankan keperluan literasi kewangan dalam kalangan rakyat, agar pengguna lebih bijak mengurus perbelanjaan dan memahami risiko penggunaan BNPL secara tidak terkawal.

“Pendidikan kewangan sangat penting supaya rakyat tidak bergantung secara berlebihan kepada kemudahan kredit ini hingga akhirnya menanggung beban hutang,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.