SHAH ALAM, 13 APRIL: Skim ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) semakin mendapat perhatian apabila timbul kebimbangan terhadap risiko beban hutang, khususnya dalam kalangan belia dan pelajar.
Dalam masa sama, terdapat gesaan supaya kerajaan memperketat kawal selia bagi memastikan penggunaan skim itu tidak disalah guna sehingga menjejaskan kedudukan kewangan pengguna.
Usahawan, MD. AIM bin Diman berkata beliau tidak menyokong penggunaan BNPL kerana berpotensi mendorong masyarakat berbelanja di luar kemampuan.

“Risiko BNPL memang jelas. Lama-kelamaan, pembelian akan membawa kepada masalah hutang dan mengubah cara perbelanjaan sehingga membeli barangan yang tidak diperlukan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan undang-undang lebih ketat bagi mengawal penggunaan skim berkenaan demi melindungi pengguna daripada beban kewangan jangka panjang.
Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nur Afiqah Mohd Romiza berpendapat BNPL boleh membantu dalam keadaan tertentu, namun sering disalah guna.

“Kadangkala pelajar ingin membeli barangan tetapi kekurangan wang, jadi BNPL boleh membantu. Namun, ramai yang menggunakannya untuk perkara tidak perlu. Kerajaan perlu mengetatkan undang-undang selain meningkatkan kesedaran awam,” katanya.
Beliau mengakui pernah menggunakan BNPL tetapi mengambil keputusan untuk berhenti kerana komitmen kewangan yang semakin meningkat dan memberi tekanan.
Seorang lagi pelajar UiTM, Hani Farisya Mohd Hanafiyah pula menyifatkan BNPL sebagai satu bentuk hutang yang boleh membebankan pelajar.

“Sebagai pelajar, komitmen akan menjadi tinggi kerana kebanyakan tidak mampu membayar balik. Lebih baik kumpul wang terlebih dahulu sebelum membuat pembelian,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan pendidikan pengurusan kewangan sejak usia muda bagi membentuk tabiat perbelanjaan yang lebih berdisiplin.
Sementara itu, pembantu sumber manusia dan pentadbiran logistik, Nurul Syaidattul Nabila Said berkata BNPL boleh menjadi penyelesaian sementara ketika kecemasan jika digunakan secara berhemah.

“BNPL memudahkan ketika kekurangan kewangan, tetapi pengguna perlu faham risiko. Jika tidak dikawal, ia boleh membawa masalah kewangan jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, penggunaan BNPL untuk keperluan sahaja serta memastikan bayaran bulanan tidak membebankan adalah penting bagi mengelakkan tekanan kewangan.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa jumlah pinjaman BNPL mencecah RM4.9 bilion setakat 31 Disember 2025.
Jumlah transaksi turut meningkat kepada 243 juta bernilai RM21.3 bilion pada 2025 berbanding 146 juta transaksi bernilai RM12 bilion pada tahun sebelumnya.
Walaupun penggunaan meningkat, kadar tunggakan dilaporkan terkawal pada RM160.2 juta atau 3.3 peratus daripada keseluruhan pinjaman. Namun, golongan belia berumur 30 tahun ke bawah menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jumlah transaksi BNPL, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko keberhutangan jangka panjang.







