ad

Depani tekanan belajar, lebih 400 pelajar dapatkan kaunseling

3 Ogos 2025, 9:17 AM
Depani tekanan belajar, lebih 400 pelajar dapatkan kaunseling
Depani tekanan belajar, lebih 400 pelajar dapatkan kaunseling

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seramai 422 pelajar mendapatkan khidmat psikologi dan kaunseling daripada Pusat Kaunseling Selangor (PKS) sejak 2020 sehingga Mei tahun ini.

Penyelarasnya Faridah Abdul Jalil @ Abas mendedahkan tekanan belajar dikenal pasti sebagai masalah utama membelenggu kumpulan tersebut merangkumi pelajar sekolah rendah, menengah hingga ke institut pendidikan tinggi.

Malah tambahnya, pelajar berumur antara 13 hingga 15 tahun menghadapi cabaran menyesuaikan diri manakala 15 tahun ke atas lebih banyak berdepan tekanan akademik.

"PKS juga mengesan tiga isu utama yang kerap dikongsi pelajar iaitu konflik dengan ibu bapa dan rakan sebaya, kekeliruan memahami diri sendiri termasuk personaliti dan kemahiran.

"Selain itu masalah psikopatologi yang merujuk kepada gangguan kesihatan mental dan memerlukan rujukan kepada pakar profesional,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut menjelaskan ramai pelajar memilih untuk memendam masalah kerana beranggapan ibu bapa dan guru lebih cenderung menghakimi berbanding mendengar.

Menurutnya lagi, mereka juga risau dilabel lemah atau dimarahi, menjadikan tanggapan terhadap kesihatan mental dalam kalangan pelajar masih tinggi.

Justeru, Faridah mengingatkan ibu bapa agar tidak hanya menumpukan kepada peperiksaan, sebaliknya menekankan perkembangan kemahiran insaniah dan pengurusan diri.

“Perlu diingat, tekanan bukan semuanya negatif. Ada tekanan baik iaitu ‘push factor’ untuk pelajar berusaha. Tetapi jika berlebihan, ia akan memudaratkan," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.