ad

Anggota polis cedera ditetak individu dipercayai kurang siuman

3 Ogos 2025, 1:11 AM
Anggota polis cedera ditetak individu dipercayai kurang siuman

ANGGOTA POLIS CEDERA DITETAK INDIVIDU DISYAKI KURANG SIUMAN

KUANTAN, 3 OGOS: Seorang anggota polis cedera akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dipercayai kurang siuman di sebuah rumah di Felda Bukit Kuantan di sini semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kejadian itu mengakibatkan Koperal Mohd Shafril Izzwan Ismail, 37, yang bertugas di balai polis Panching mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, dagu serta jari tangan kiri.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 5.30 petang semasa sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung tindakan seorang lelaki yang mengamuk bersenjatakan parang di rumah berkenaan.

“Semasa menjalankan tugas untuk mententeramkan keadaan, Mohd Shafril telah diserang oleh suspek dengan senjata berkenaan. Anggota itu kemudian telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan kini dirawat di Zon Kuning,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis telah membuat tangkapan terhadap suspek berusia 37 tahun yang tidak bekerja serta dipercayai mengalami masalah mental.

“Polis juga telah merampas beberapa bilah senjata tajam di lokasi kejadian dan suspek turut dirujuk ke Wad Psikiatri HTAA bagi tujuan pemeriksaan kesihatan mental,” katanya.

Bagaimanapun, suspek berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.