SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Selangor berhasrat membawa karya kanak-kanak yang dihasilkan penerbit dan penulis tempatan untuk dipamerkan serta diperkenalkan di Pesta Buku Kanak-Kanak Bologna pada masa akan datang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri ini mempunyai potensi untuk berkembang sebagai pusat penerbitan buku kanak-kanak dan penyertaan di pesta buku terkenal antarabangsa itu kelak mengukuhkan ekosistem negeri dalam penghasilan karya tempatan.
“Kerajaan Negeri ada memberi fellowship (biasiswa) kepada penerbit dan penulis luar yang membawa karya mereka ke Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor.
[caption id="attachment_712304" align="aligncenter" width="958"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 dan Pertukaran MoU dan MoA antara PPAS dengan UKM di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Dengan pemberian fellowship ini akan membuka peluang untuk negeri menyertai pesta buku antarabangsa, memperkenal produk tempatan di Pesta Buku Bologna membolehkan pengkarya di sini bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 di Kompleks PKNS Shah Alam di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memberitahu Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan mempertingkat kualiti penganjuran pesta buku itu dengan kerjasama penerbit antarabangsa.
“Terdapat lima negeri akan menganjurkan pesta buku pada bulan ini, Selangor sebagai pelopor dan mereka ada datang melihat bagaimana kita menganjurkannya. Tahun ini pesta mula mendapat penyertaan luar negara.
“Jadi alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dengan perkembangan sihat penerbitan industri buku di Selangor,” ujarnya.
[caption id="attachment_712293" align="aligncenter" width="703"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melawat reruai pada Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 dan Pertukaran MoU dan MoA antara PPAS dengan UKM di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 25 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]