SHAH ALAM, 21 JULAI: Mahkamah Seksyen hari ini memerintahkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin membela diri atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh membuat keputusan terhadap Ismanira Abdul Manaf selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Sementara suaminya yang juga ayah Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan selepas pendakwaan gagal membuktikan elemen pengabaian.
Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam esoknya.
Berikutan itu keduanya didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.