AGENDA

MB: Pencapaian ekonomi seiring manfaat kebajikan, adil tanpa mengira fahaman

19 Jul 2025, 11:15 AM
MB: Pencapaian ekonomi seiring manfaat kebajikan, adil tanpa mengira fahaman
MB: Pencapaian ekonomi seiring manfaat kebajikan, adil tanpa mengira fahaman

SUBANG JAYA, 19 JULAI: Kerajaan Selangor tidak hanya menumpukan pencapaian ekonomi sebaliknya mahu menyediakan peluang sama rata dari segi kebajikan, pendidikan dan keusahawanan kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar berkata semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu dipastikan menerima pelbagai manfaat yang ditawarkan oleh negeri ini demi kehidupan yang selesa dan sejahtera.

“Kerajaan Negeri tidak hanya lihat kepada pencapaian ekonomi semata-mata, tetapi mahu semua rakyat ada peluang serta hak sama rata. Kita harap dapat terus bantu apa rakyat perlu dan mahukan. Kita nak jadikan negeri ini untuk semua tidak kira Melayu, Cina, India.

“Ini tempat cari rezeki untuk semua yang datang dari serata negeri. Kita beri peluang adil dan menjaga kebajikan mereka perlukan,” kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menghadiri Karnival Bling-Bling anjuran Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Wing Siew Ki yang menghimpun lebih 60 peniaga di The Mines, dekat sini, hari ini.

Awal bulan ini, laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Selangor terus kukuh sebagai hab perindustrian dan perkhidmatan utama negara, dengan mencatat 6.3 peratus pertumbuhan KDNK tahun lalu.

Menurut laporan berkenaan, negeri ini merekodkan KDNK berjumlah RM432.1 bilion pada tahun lalu dan menyumbang 26.2 peratus kepada KDNK nasional.

DOSM turut melaporkan ekonomi negara berkembang sebanyak 5.1 peratus pada tahun lalu, meningkat daripada 3.5 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai ditambah berjumlah RM1.65 trilion.

[caption id="attachment_711182" align="aligncenter" width="700"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari diiringi  ADN Seri Kembangan Wong Siew Ki melawat pameran Karnival Bling Bling di The Mines, Seri Kembangan, Subang Jaya pada 19 Julai 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]